
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mendesak tindakan tegas diambil kepada mereka yang sengaja mengibarkan bendera China dalam sebuah perarakan sambutan Guang Gong pada 24 Oktober lepas.
Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, perkara ini dibimbangi berulang sekiranya tiada tindakan tegas dilakukan bagi mengekang tindakan mengagungkan bendera negara lain.
“Ia bukan sekadar kibaran bendera, ia merupakan suatu pengkhianatan kepada negara.
“Beberapa saksi melaporkan pada ketika kejadian, tiada langsung bendera Malaysia dikibarkan.
“Sekiranya program perarakan tersebut dibuat bagi mengenang hubungan diplomatik China dan Malaysia selama 50 tahun, sepatutnya bendera Malaysia turut dikibarkan,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebook DMPM, hari ini.
Beliau berkata, DMPM turut merasakan isu ini bukanlah isu perkauman, sebaliknya ini merupakan isu kedaulatan negara.
Katanya lagi, ia bukan isu penghinaan terhadap mana-mana bangsa sebaliknya ia merupakan isu penghinaan terhadap kedaulatan negara Malaysia.
“Kibaran bendera asing bukanlah suatu yang tidak dibenarkan tetapi mestilah bersebab.
“Contohnya, bendera Palestin kerana ingin menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin yang ditindas atau pun program sukan di mana mereka hendak menyatakan sokongan kepada negara kita.
“Rasanya tiada sebab rakyat negara mana pun untuk mengibarkan bendera China dalam sebuah perarakan perayaan,” ujarnya.
Ustazah Nuridah berkata, mana-mana negara pun tiada yang membenarkan perkara ini berlaku.
Katanya lagi, DMPM ingin mengingatkan bahawa bendera merupakan syiar, lambang atau petanda kebesaran.
“Jika kita mengibarkan bendera bermaksud kita sedang membesarkan negara kita.
“Sebaliknya, jika kita membiarkan bendera negara lain dikibarkan, apakah kita sedang membiarkan negara lain memuliakan negara mereka di tanah air kita,” katanya.
Tambah beliau, DMPM ingin mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam apa jua tindakan yang bakal mengundang provokasi keharmonian negara
Selain itu, rakyat Malaysia seharusnya berpaksikan kepada Rukun Negara yang kedua iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Jangan biarkan bumi Malaysia jatuh seinci pun kepada negara asing,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024




















