‘Sepatutnya kurangkan cukai, tambah subsidi: Bukan berasa hina…’

Mohd Zuhdi Marsuki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kerajaan berkebajikan seharusnya menambah subsidi dan mengurangkan cukai untuk meringankan beban rakyat, bukan berasa hina dengan polisi itu.”

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, dalam Belanjawan 2025, terdapat naratif seolah-olah subsidi tinggi dan cukai rendah adalah polisi yang tidak wajar, yang menyokong agenda kapitalis untuk mengurangkan peranan kerajaan dalam kebajikan rakyat.  

Menurut beliau, normalisasi penyasaran subsidi berisiko membawa kepada penghapusan subsidi sepenuhnya, yang akhirnya menguntungkan kapitalis dan merugikan rakyat, terutamanya dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

- Advertisement -

“Di permulaan pembentangan Bajet 2025 pada Jumaat lepas oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim, beliau ada menyebut dengan nada berasa hina diri ‘inferiority‘, Malaysia adalah sebuah negara yang memberikan subsidi yang tinggi kepada rakyat dan mengenakan cukai yang rendah. 

“Beliau membuat perbandingan nilai pemberian subsidi dan nilai pengutipan cukai negara Malaysia dengan negara-negara serantau yang lain. 

“Boleh jadi telahan saya salah, tetapi setakat yang diperhatikan daripada nada ucapan Menteri Kewangan, seolah-olah pemberian subsidi yang tinggi kepada rakyat dan pengenaan cukai yang rendah adalah suatu polisi yang tidak wajar bagi sesebuah kerajaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Hak rakyat dalam perkhidmatan asasi

Menurutnya, kerajaan bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dan meringankan beban hidup mereka melalui subsidi dan cukai yang rendah. 

Jelas beliau, tidak seperti syarikat yang memaksimumkan keuntungan, tugas kerajaan adalah memastikan kesejahteraan rakyat. 

Beliau berkata, pemberian subsidi tinggi dan kutipan cukai rendah bukanlah kelemahan, tetapi sepatutnya menjadi kebanggaan kerajaan.

Sebelum itu katanya, penyaluran dana untuk sektor seperti pendidikan dan kesihatan disebut sebagai peruntukan kerajaan, bukan subsidi.

Beliau menjelaskan bahawa dana tersebut adalah tanggungjawab asasi kerajaan yang menjamin hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan pendidikan dan kesihatan percuma, dan sesebuah kerajaan tidak boleh lari daripada tanggungjawab tersebut.

Agenda kapitalis dan pengurangan subsidi

Menurutnya, pihak yang mempelopori kempen anti subsidi adalah pihak yang mewakili golongan kapitalis, yang mahu mengutip keuntungan semaksima mungkin daripada rakyat teramai. 

“Mereka melihat semua sektor berkaitan kehidupan rakyat sebagai peluang untuk menjana pendapatan dan memaksimumkan keuntungan termasuklah sektor yang merupakan hak asasi rakyat seperti sektor pendidikan dan kesihatan. 

“Penarikan dan pengurangan peruntukan kerajaan kepada sektor-sektor ini akan membuka peluang peniagaan kepada para kapitalis. 

“Nantinya semua sektor yang berkaitan kehidupan termasuk yang merupakan hak asasi rakyat tidak ada lagi yang percuma. Sebenarnya, inilah yang diusahakan oleh badan-badan seperti IMF dan lain-lain,” ujar beliau.

Manipulasi sentimen rakyat

Beliau berkata, subsidi sering dimomokkan sebagai sesuatu yang perlu dihindari oleh kerajaan, dengan istilah-istilah seperti rasionalisasi atau penyasaran subsidi. 

Beliau menerangkan bahawa, apabila kempen anti-subsidi itu diterima oleh rakyat, subsidi akan dikurangkan secara berperingkat sehingga sifar. 

Akhirnya katanya, penghapusan subsidi akan membuka peluang lebih luas bagi golongan kapitalis untuk memperluaskan empayar perniagaan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengamal ekonomi kapitalis memanipulasi sentimen rakyat dengan mengkategorikan mereka mengikut pendapatan seperti T20, M40, B40, dan terbaru T15. 

Mereka jelasnya, menggambarkan subsidi sebagai sesuatu yang tidak patut diambil oleh golongan berpendapatan tinggi, sementara memomokkan golongan B40 bahawa subsidi adalah hak eksklusif mereka. 

Menurutnya, Ucapan Menteri Kewangan dalam Bajet 2025 mengenai golongan kaya mendapat subsidi mencetuskan kecaman di media sosial terhadap golongan berpendapatan tinggi.

Pecah dan perintah

Beliau berkata, rakyat tidak menyedari bahawa sentimen itu adalah strategi ‘pecah dan perintah’ untuk menghalang mereka bersatu mempertahankan hak bersama. 

Jelasnya, pemotongan subsidi boleh diterima jika melibatkan sektor yang bukan hak asasi, tetapi sektor seperti pendidikan dan kesihatan adalah tanggungjawab asasi kerajaan untuk semua rakyat tanpa mengira kelas. 

“Rakyat mempunyai hak yang sama untuk memperolehi perkhidmatan percuma yang berkualiti melalui peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan. 

“Sejak 67 tahun negara merdeka tidak pernah timbul hak asasi ini tidak layak diperolehi oleh kelompok tertentu,” terang beliau.

Beliau mengulas bahawa dalam Bajet 2025, isu subsidi untuk golongan T15 dibangkitkan, meskipun mereka juga rakyat Malaysia yang membayar cukai dan mematuhi undang-undang. 

Menurutnya, mungkin 85 peratus rakyat yang masih menerima subsidi berasa lega buat masa ini, namun peratusan tersebut dijangka akan dikurangkan pada masa hadapan sehingga kerajaan melepaskan tanggungjawab asasi mereka. 

Itu jelasnya, mencerminkan kehendak pendukung Neo-Liberal yang mahu kerajaan ‘lepas tangan’ atau mengamalkan dasar ‘laissez-faire’.

Keberkesanan dan peruntukan bajet

Beliau berkata, kerajaan meyakinkan 85 peratus rakyat bahawa penyasaran subsidi akan mengalihkan dana kepada pembangunan yang menguntungkan rakyat. 

Namun menurutnya, dalam Bajet 2025, peruntukan pembangunan sebenarnya berkurang daripada RM 84.846 bilion pada 2024 kepada RM84.679 bilion. 

“Boleh jadi ia dialihkan kepada perbelanjaan pengurusan, iaitu meningkatkan jumlah penyaluran bantuan tunai langsung STR dan SARA kepada sembilan juta rakyat.

“Namun begitu, peningkatan peruntukan untuk STR dan SARA hanyalah RM 3 billion, sedang penjimatan yang diperolehi dari penyasaran subsidi RON 5 sahaja diunjurkan RM8 billion,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walau apa pun alasan kerajaan, penarikan subsidi bagi kelompok tertentu tidak boleh menjadikan mereka lepas tangan daripada tanggungjawab asasi terhadap rakyat.

Memperincikan penjelasannya, ujar Mohd Zuhdi, tidak wajar melibatkan sektor yang berkaitan hak asasi seperti pendidikan dan kesihatan. 

“Normalisasi ke arah subsidi sifar dengan proses beransur-ansur atas nama penyasaran subsidi atau rasionalisasi subsidi, seharusnya dihalang sekarang oleh semua rakyat sebelum terlambat.

“Bila sesebuah kerajaan terasa hina diri kerana terlalu banyak menyalurkan subsidi atau terlalu kurang mengutip cukai, itu adalah petanda kerajaan tersebut telah mengikut petunjuk golongan kapitalis Neo-Liberal,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -