
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah melaksanakan Program Pendidikan Pengundi sejak tahun 2017, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Katanya, ia bertujuan memberikan kefahaman terhadap pentingnya demokrasi, aplikasi demokrasi melalui platform pilihan raya, proses pilihan raya yang dijalankan di Malaysia, tanggungjawab sebagai seorang pengundi dan implikasinya terhadap negara serta menjelaskan isu-isu/cabaran yang sering dibangkitkan semasa pillihan raya diadakan kepada segenap lapisan masyarakat.
Menurutnya, APR telah memperkenalkan modul baharu pada tahun 2024 di mana sukatan pelajaran dan kaedah penyampaian disesuaikan mengikut kategori peserta iaitu Voter Education peringkat Rendah (VE-R) untuk sekolah rendah, Voter Education peringkat Menengah (VE-M) untuk sekolah menengah dan Voter Education peringkat Tertiari (VE-T) untuk lepasan SPM dan ke atas.
Tambahnya, bagi Program VE-R, pelaksanaannya masih di peringkat awal untuk mengkaji keperluan dan kaedah pendekatan yang terbaik bagi murid sekolah rendah dan satu program telah dilaksanakan pada tahun 2023 melibatkan 217 orang.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Mohd Misbahul Munir Masduki [PN-Parit Buntar] di Dewan Rakyat, semalam.
Misbahul Munir menerusi soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah keberhasilan Akademi Pilihan Raya dalam merangka program atau inisiatif kepada pelajar sekolah dan IPT ke arah usaha meningkatkan tahap kesedaran mereka terhadap proses pilihan raya.
Tambah Azalina, bagi tahun 2024, APR memfokus kepada pelaksanaan VE-M dan VE-T terlebih dahulu bagi memastikan objektif peningkatan tahap kesedaran kumpulan sasar yang akan terlibat dalam PRU yang akan datang dapat direalisasikan.
Bagi Program VE-M pula, katanya pelaksanaannya sama ada secara terus dengan pihak sekolah atau melalui rakan kerjasama strategik iaitu Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melalui inisiatif Kelab Malaysiaku.
Katanya, pada tahun 2023, sebanyak 137 program VE-M telah dilaksanakan melibatkan 18,642 orang pelajar sekolah menengah.
Pada tahun 2024, sehingga kini, ujarnya sebanyak 92 program VE-M telah dilaksanakan melibatkan 17,274 orang pelajar sekolah menengah, sama ada dengan kerjasama JAPEN mahupun secara terus dengan pihak sekolah.
Bagi Program VE-T pula, katanya terdapat banyak pihak yang bekerjasama untuk melaksanakannya termasuklah pihak Kementerian yang mempunyai agensi atau institusi pengajian di bawah pemantauan mereka seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Institusi Pendidikan MARA di bawah Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) dan sebagainya.
Selain itu, jelasnya APR turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah inisiatif Gaya Hidup Rakan Muda – Rakan Demokrasi dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memberikan pendidikan pengundi kepada para belia termasuklah belia di luar institusi pengajian tinggi.
“APR juga meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak lain termasuklah badan-badan bukan kerajaan dalam menyebar luas program pendidikan pengundi bagi memastikan semua golongan pengundi khususnya pengundi muda didedahkan dengan kepentingan mengundi dan kefahaman mengenai proses pilihan raya,” ujarnya.
Bagi tahun 2023, katanya jumlah program VE-T yang telah dilaksanakan adalah sebanyak 167 program melibatkan seramai 61,845 orang peserta manakala pada tahun 2024, sejumlah 123 program telah dilaksanakan setakat ini melibatkan seramai 50,131 orang peserta.
APR juga, ujarnya sudah mula giat melaksanakan program VE-T bersama pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan jumlah ini dijangka bertambah kerana banyak program VE-T melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) diadakan pada bulan Oktober sempena pendaftaran pelajar-pelajar baharu bagi pengajian ijazah sarjana muda.
“Berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada penganjur dan peserta Program Pendidikan Pengundi, secara keseluruhannya mereka berpuas hati dengan pelaksanaan program ini kerana berjaya mencapai objektif untuk memberi kesedaran pentingnya mengundi dan perkongsian mengenai proses pengundian di Malaysia.
“Walau bagaimanapun, usaha ini perlu diteruskan dan semua pihak yang terlibat perlu terus memberikan komitmen agar program ini dapat diteruskan, ditambah baik dan memberi faedah kepada semua demi memartabatkan demokrasi di negara kita yang tercinta ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024











