Nushi ucap tahniah anugerah Profesor Diraja, Syed Muhammad Naquib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz menzahirkan ucapan tahniah kepada Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas atas penganugerahan profesor diraja di Istana Negara, semalam.

Beliau berkata, penganugerahan yang diberikan itu adalah pengiktirafan yang paling layak buat seorang tokoh yang telah melakar sejarah dalam perjuangan ilmu dan pembentukan pemikiran Islam. 

- Advertisement -

“Syed Muhammad Naquib, 93, menerima pengiktirafan gelaran tertinggi dalam kalangan profesor itu berikutan jasa serta sumbangan beliau terhadap negara terutama dalam pendidikan Islam.

“Beliau turut dikenali sebagai pelopor konsep Islamisasi ilmu, yang bertujuan membebaskan minda manusia daripada sekularisme, magik, dan mitologi, serta mengembalikan ilmu kepada pandangan dunia Islam.

“Beliau juga telah menghasilkan 27 buah buku yang meliputi falsafah Islam, tasawuf, kesusasteraan Melayu, sejarah, metafizik, dan pendidikan,” katanya menerusi catatan di Facebook, miliknya. 

Tambah Nushi lagi, pada tahun 1987, Syed Muhammad Naquib telah menubuhkan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), di mana beliau bukan sahaja mereka bentuk kurikulum tetapi juga bangunan institut yang bercirikan seni bina Andalusia. 

“Keunikan ini menunjukkan kebolehan beliau bukan sahaja sebagai ilmuan tetapi juga sebagai arkitek dan pereka.

“Saya juga pernah mengikuti pemikiran dan penulisan beliau. 

“Apa yang menarik bagi saya, anak-anak murid beliau mempunyai satu ‘pattern’ atau gaya yang sama, mencerminkan kejayaan beliau sebagai seorang Murabbi yang benar-benar ‘mencetak’ anak-anak buahnya dengan berkesan. 

“Penganugerahan yang diberikan kepada Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas ini adalah satu penghormatan dan juga pengesahan terhadap jasa besarnya yang kekal relevan dalam memperkasakan umat Islam pada hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran profesor diraja ialah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -