
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengutuk dan mengecam sebarang usaha yang dicadangkan oleh DAP untuk mewujudkan semula Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ketuanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, rakyat Malaysia perlu bangkit melawan hasrat DAP yang begitu berbahaya untuk keamanan negara Malaysia.
“Parti DAP sekali lagi mengumumkan hasrat dan cita-cita mereka untuk mewujudkan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan melalui cadangan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 di dalam Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 pada 13 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.
Hasrat DAP itu menurutnya bukanlah suatu perkara baharu dan sememangnya perkara itu telah acap kali diulang oleh para pemimpin mereka di banyak peringkat.
Beliau berkata, DAP juga sedar mengenai cadangan tersebut yang sangat sensitif untuk disebutkan kerana cadangan mewujudkan pilihan raya PBT turut membawa ‘history baggage’ yang mesti ditanggung oleh mereka.
Katanya, sebagai sorotan, pemansuhan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan antaranya kerana berlaku ketidak seimbangan penguasaan kaum di dalam PBT.
“Perkara itu mendorong untuk berlakunya diskriminasi antara kaum, pengagihan kekayaan ekonomi yang tidak stabil dan membuka ruang kepada aktiviti jenayah seperti rasuah untuk berlaku,” jelasnya.
Tambah beliau, akibat ketidakseimbangan penguasaan kaum di dalam PBT, insiden hitam negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969 telah berlaku.
“Lebih mengejutkan lagi, peristiwa berdarah seperti itu berlaku di dalam bandar-bandar yang dikuasai oleh orang Cina.
“Lebih hairan lagi terang beliau, perkara itu tidak merebak di bandar-bandar yang dikuasai oleh orang Melayu seperti di Pantai Timur,” tegasnya.
Beliau berkata, perkara itu membawa kepada kesimpulan bahawa kewujudan DAP sebenarnya membawa suatu gagasan yang merbahaya kepada keamanan negara Malaysia.
“DAP dilihat begitu rakus dalam memastikan penguasaan mereka di kawasan bandar-bandar yang kaya dengan hasil ekonomi untuk terus dipegang oleh mereka.
“Perkara ini dilihat begitu selari dan berkait dengan kedudukan Nga Kor Ming sebagai Menteri KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) yang kini sedang berusaha untuk membawa suatu Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar di Kuala Lumpur.
“Melalui RUU tersebut, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) telah mengenal pasti 1,300 ekar kawasan di dalam Kuala Lumpur yang akan diambil alih dengan tujuan pembaharuan bandar yang kebanyakannya adalah kediaman orang Melayu,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Pengerusi DAP Negeri Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, dalam ucapan aluannya sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024, menyatakan bahawa parti itu bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sedang mencadangkan reformasi.
Menurutnya, reformasi tersebut melibatkan pelaksanaan sistem pelantikan Ahli Majlis untuk Kuala Lumpur seperti yang diamalkan oleh PBT.
Beliau berkata, langkah itu mampu memperkasakan demokrasi tempatan dan membawa sistem pentadbiran Kuala Lumpur ke arah pilihan raya Kerajaan Tempatan. – HARAKAHDAILY 18/10/2024




















