Pelajar Tingkatan 6 kunjungi alumni sekolah di Parlimen

Ismi, Zahid, Jamaluddin dan Syahir bersama-sama kumpulan 32 pelajar Tingkatan 6 dari Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah serta empat guru pengiring yang mengadakan lawatan rasmi ke Parlimen, Kuala Lumpur pada Khamis.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 32 orang pelajar Tingkatan 6 dari Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah, Perak bersama-sama empat guru pengiring telah mengadakan lawatan rasmi ke Parlimen Malaysia.

Rombongan tersebut disambut mesra oleh Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Ustaz Jamaluddin Yahya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah. 

- Advertisement -

Menurut Ustaz Ismi, lawatan yang dibuat oleh sekumpulan pelajar itu semalam adalah untuk memberi peluang kepada mereka mengikuti taklimat khas mengenai perjalanan dan peranan Parlimen Malaysia. 

“Mereka diberi penerangan mengenai fungsi Dewan Rakyat serta peranan ahli parlimen dalam menggubal undang-undang dan menjaga kepentingan rakyat. 

“Dalam program lawatan ini turut diselitkan dengan sesi soal jawab, kumpulan pelajar berkenaan berpeluang untuk bertanya soalan kepada saya tentang isu-isu semasa dan cabaran yang dihadapi dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.  

“Kita lihat, respon positif dan bersemangat yang ditunjukkan oleh para pelajar membuktikan minat mereka terhadap peranan dan fungsi Parlimen dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Tambah beliau, lawatan tersebut bukan sahaja memberikan pengalaman berharga kepada pelajar untuk memahami sistem pentadbiran negara, malah dapat menanamkan rasa bangga terhadap pencapaian bekas pelajar sekolah mereka yang kini berkhidmat untuk negara di Parlimen Malaysia. 

“Mereka yang hadir ini dapat bertemu dengan beberapa alumni Sekolah Izzuddin Shah yang kini menjadi Ahli Dewan Rakyat. 

“Antaranya, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.  

“Pelajar-pelajar yang terlibat ini melahirkan rasa teruja dan bersyukur atas peluang yang diberikan untuk mengunjungi tempat bersejarah ini serta bertemu dengan tokoh-tokoh penting negara,” ujarnya. 

Sehubungan itu, Ismi turut memberi peringatan kepada rombongan pelajar ini supaya sentiasa bersedia menjadi pemimpin pada masa depan.

“Generasi muda seperti kalian adalah harapan negara. 

“Pemahaman yang mendalam mengenai proses demokrasi dan perjalanan Parlimen akan membantu anda semua menjadi pemimpin yang berwawasan pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2024

- Advertisement -