
KUALA LUMPUR: Rasulullah SAW tidak meninggalkan harta kekayaan kepada umatnya sebaliknya pusaka berharga Baginda ialah ilmu dan amalan kebaikan.
Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, ada pun ilmu tetapi ia diwarisi oleh para ulama manakala amalan kebaikan diwariskan kepada semua umat Baginda.
Justeru, beliau berkata masjid merupakan simbolik tempat beramal segala amal soleh yang perlu dihadiri setiap masa untuk memperoleh bahagian pusaka Baginda Nabi Muhammad SAW dalam kalangan kita.
“Masjid menjadi pusat kehidupan baru bagi orang Islam agar menghayati tujuan asal didirikan, pengajaran-pengajaran dan objektif perpaduan yang bernaung di masjid pada setiap masa.
“Maka pergerakan kita bermula dari masjid dan mengimarahkannya dengan hati yang beriman, mengingati Allah SWT, berdoa kepada-Nya, membaca al-Quran, mempelajari kitab-kitab dan mencungkil hikmah.
“Itulah pusaka Rasulullah SAW, dan dengan memiliki harta pusaka itu, orang yang lemah seperti kita akan kembali bertenaga untuk menjadi khalifah di muka bumi ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata tidak semua orang berpeluang menjadi ulama yang dijuluki al-ulama’ warathatul anbiya’.
“Namun begitu kita semua berpeluang menjadi pewaris Baginda menerusi amal kebaikan yang ditinggalkan oleh Baginda.
“Oleh yang demikian, masjid-masjid kita merupakan tempat agihan pusaka Nabi SAW yang sentiasa terbuka untuk kita kutip pada setiap masa. Jangan lupakan tempat berharga ini. Sepatutnya lama sudah, kita menjadi ‘kaya raya’,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2024




















