
KUALA LUMPUR: Dengan penuh rasa dukacita, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua DHPP Wilayah Persekutuan, Kong Tuck Wah.
Beliau yang biasa dikenali sebagai Dr Bala berkata, mendiang Tuck Wah merupakan seorang yang amat berdedikasi dan telah mengharungi pelbagai cabaran dalam parti PAS bersama DHPP dengan semangat yang tidak pernah luntur.
“Kita telah kehilangan seorang yang besar kepada parti dan juga kepada semua yang pernah bekerjasama dengannya.
“Beliau bukan sahaja seorang pemimpin, malah seorang sahabat yang sentiasa terbuka untuk berbincang dan berkongsi pandangan.
“Kehadirannya akan dirindui, dan memori bersama akan kekal dalam ingatan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, hidup ini terlalu singkat dan sejak kebelakangan ini, beliau juga telah melalui begitu banyak kehilangan.
“Ini menjadi peringatan buat diri saya sendiri untuk menghargai setiap detik yang kita ada dan memberi sepenuh usaha dalam apa jua yang kita lakukan.
“Semoga kita semua diberi kekuatan dalam menghadapi segala ujian dan dugaan hidup,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2024




















