
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkesempatan menyantuni sekumpulan rombongan pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah Parit anjuran Guru Panitia Pengajian Am sekolah tersebut hadir ke Parlimen.
Beliau berkata, rombongan tersebut disertai oleh lapan orang guru pengiring bertujuan memberikan pendedahan kepada kumpulan pelajar berkenaang mengenai perjalanan sistem demokrasi di Malaysia serta peranan Parlimen sebagai institusi penting dalam pembentukan dasar negara.
Menurut, sepanjang lawatan tersebut pelajar-pelajar berpeluang menyaksikan sendiri sidang Parlimen dan memahami dengan lebih mendalam bagaimana perbahasan dan perundangan dijalankan.
“Dalam program lawatan ini turut diselitkan dengan sesi soal jawab, para pelajar berpeluang untuk bertanya soalan kepada saya tentang isu-isu semasa dan cabaran yang dihadapi dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
“Kita lihat, respons positif dan bersemangat yang ditunjukkan oleh para pelajar membuktikan minat mereka terhadap peranan dan fungsi Parlimen dalam negara,” katanya.
Tambah Ismi, program lawatan ke Parlimen seperti ini dijangka akan menjadi program tahunan bagi Guru Panitia Pengajian Am SMK Iskandar Shah Parit bagi terus mendidik pelajar dalam bidang pengajian sains politik dan am.
Beliau juga turut memberi peringatan kepada rombongan pelajar ini supaya sentiasa bersedia menjadi pemimpin pada masa depan.
“Generasi muda seperti kalian adalah harapan negara.
“Pemahaman yang mendalam mengenai proses demokrasi dan perjalanan Parlimen akan membantu anda semua menjadi pemimpin yang berwawasan pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024




















