GBS pertama di Pantai Timur pacu ekonomi digital Terengganu

Ahmad Samsuri pada Majlis Pelancaran Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global Pertama di Pantai Timur di Marang, Terengganu.
- Advertisement -

MARANG: Pelancaran Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) pertama di Pantai Timur dijangka menjadi hab utama kemudahan digital kepada rakyat dan perniagaan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pusat itu akan menjadi pemangkin kepada perubahan selaras dengan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu.  

- Advertisement -

Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menjana pendapatan baharu melalui sumber yang lebih pelbagai.

“Pembukaan pusat ini akan menyokong perancangan pelan tersebut.

“Selain daripada meningkatkan kecekapan, operasi syarikat-syarikat yang beroperasi di Terengganu khususnya, saya percaya potensi yang dimiliki oleh Pusat GBS ini.

“Merujuk pada fasilitinya, kemudahan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak yang ada dalam bangunan ini, saya percaya suatu masa nanti, ia akan muncul sebagai satu pusat sehenti yang sangat penting dan dikenal bukan sahaja dalam negara kita bahkan di seluruh dunia, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global Pertama di Pantai Timur di Dewan Kristal Redang, Kompleks TM Medah jaya, di sini.

Samsuri turut mengucapkan tahniah kepada TM atas kejayaan yang dianggap sebagai pencapaian penting bagi syarikat telekomunikasi tersebut, serta kepada daerah Marang dan Negeri Terengganu secara keseluruhannya.

“Sudah tentu fasiliti seperti yang ada pada hari ini akan memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani keperluan pelbagai industri serta meningkatkan kecekapan dan daya saing syarikat,” jelasnya.

Beliau menyatakan, pusat GBS itu  diharapkan bakal memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan industri serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu. 

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri turut merancang untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat di bawah GLC negeri dan TM One bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing sektor perniagaan di Terengganu.

“Saya percaya syarikat-syarikat yang di bawah kerajaan negeri, di bawah GLC negeri akan berunding, berbincang dengan pihak TM One untuk sama-sama kita mewujudkan kerjasama PINTAR, mewujudkan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat kami dan juga membantu mengupayakan lagi TM One, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -