Kelantan buat persediaan hadapi ledakan AI

Zamakhshari Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan membuat persediaan bagi menghadapi ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang bakal menggantikan tugas dan perkhidmatan dilakukan manusia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakshari Muhammad berkata, AI menjadi cabaran kepada belia untuk menyesuaikan pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, kerajaan negeri bekerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyediakan peluang dan ruang kepada generasi muda.

- Advertisement -

“Kita akan fokus penyediaan latihan, kemahiran berdasarkan permintaan pasaran. Kita juga bekerjasama MDEC program usahawan digital dan sebagainya.

“Kita boleh mengambil manfaat daripada perkembangan teknologi yang semakin pesat dan bukan kita jadi mangsa kepada teknologi,” katanya di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai firma teknologi termasuk Intel, Dell, Google dan banyak lagi syarikat terpaksa membuang pekerja kerana beralih kepada perkembangan AI.

Media sebelum ini melaporkan platform media sosial TikTok memberhentikan 500 pekerja di Malaysia.

Malah, kajian impak AI terhadap pasaran kerja oleh Kementerian Sumber Manusia turut menunjukkan kira-kia 600,000 pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka terkesan.

Ia membabitkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan perniagaan global, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan selain elektrik dan elektronik.

Selain itu penggunaan AI turut merangkui bidang aeroangkasa, perniagaan borong dan runcit, peranti perubatan, tenaga dan kuasa. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -