Ibu bapa perlu awasi anak berkawan dengan siapa

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengingatkan ibu bapa untuk mengawasi anak-anak dengan siapa mereka berkawan.

Ini kerana antara punca utama yang menyumbang kepada masalah kes kehilangan kanak-kanak adalah pengaruh rakan, hubungan kekasih, dan salah faham dalam keluarga.

Beliau berkata demikian merujuk kepada jawapan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Menteri berkenaan mengungkapkan bahawa dari tahun 2020 hingga 2024, sebanyak 3,847 kes kanak-kanak hilang telah dilaporkan di seluruh negara dan ia bermakna purata 770 kanak-kanak hilang setiap tahun, atau dua orang setiap hari.

Menurut statistik yang diberikan, 74 peratus daripada kanak-kanak yang hilang adalah kanak-kanak perempuan.

Namun, 96 peratus daripada kes kehilangan kanak-kanak berjaya dijumpai semula.

Walau bagaimanapun menteri itu berkata, terdapat 10 kes yang dilaporkan telah berakhir dengan kematian.

Sehubungan itu, Siti Zailah mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga anak-anak dengan baik, kerana mereka adalah amanah Allah.

“Hati hati kepada semua ibu bapa. Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa, perlu dijaga dan dididik sebaik mungkin.

“Perhatikan keselamatan anak anak, dengan siapa mereka berkawan,” katanya kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau menekankan bahawa adalah penting bagi ibu bapa untuk memantau keselamatan anak-anak dan mengawasi dengan siapa mereka berkawan. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -