Pelajar lepasan diploma KIAS lanjut pengajian di Al Azhar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 16 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) melanjutkan pengajian di tahun tiga di Universiti Al Azhar, Mesir di bawah program muadalah.

Mereka merupakan graduan diploma dalam bidang usuludin dan syariah yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda menerusi kerjasama kedua-dua institusi terbabit.

Turut mengiring pelajar ke Al Azhar, Rektor KIAS Prof Dr Mazlan Ibrahim dan Pengarah Pusat Kerjasama Antarabangsa KIAS (CENTRIK), Mohammad Jawwad Md Yusnan.

- Advertisement -

Rombongan itu disambut Pegawai Atase Pendidikan Kelantan, Che Khairulaffendy Che Kamaruzaman Dan timbalannya Nawi Saleh sejurus tiba di Lapangan Terbang Kaherah.

KIAS turut mengadakan majlis khas bersama pelajar termasuk amanat Rektor KIAS dan nasihat Pejabat Atase Pendidikan Kelantan di Dewan Wisma Tengku Mahkota, Bandar Nasr.

Dr Mazlan mengingatkan pelajar program muadalah supaya memanfaatkan masa sepenuhnya untuk mendapatkan ilmu pengajian sebaik mungkin.

“Pelajar perlu mengambil peluang selama dua tahun berada di Universiti Al Azhar dengan menimba ilmu sebanyak mungkin,” katanya pada catatan di laman KIAS.

Menurutnya juga selepas menamatkan pengajian pelajar dapat memanfaatkan pengalaman untuk dicurahkan semula kepada masyarakat dan negara. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -