ADUN Sungai Ramal, pengerusi kuil adakan perbincangan khas

Shafie Ngah (tengah) dalam pertemuan dengan Pengerusi Kuil Sri Kaikudum Karumariamman di Bandar Teknologi Kajang.
- Advertisement -

BANGI: Satu pertemuan khas telah diadakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Shafie Ngah dengan Pengerusi Kuil Sri Kaikudum Karumariamman di Bandar Teknologi Kajang.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu turut dibincangkan mengenai perpindahan kuil ke tempat baharu. 

- Advertisement -

“Puan Nara selaku Pengerusi kuil Kuil Sri Kaikudum Karumariamman di Bandar Teknologi Kajang telah berkongsi tentang gerak kerja yang mereka lakukan dalam membangunkan komuniti India di kawasan sekitar.

“Mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak Pejabat ADUN Sungai Ramal dalam pelbagai aspek termasuklah pembangunan remaja, pendidikan, integrasi budaya dan sebagainya.

“Walau tanpa menyentuh soal agama dan kepercayaan pun, kita boleh bekerjasama dalam pelbagai aktiviti dan program atas tujuan yang sama, iaitu untuk membangunkan komuniti kita,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya. 

Shafie turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Safar Hasan dan Ketua Cawangan PAS Bandar Tasik Kesuma (BTK), Suhaimi Mat Daud atas usaha mereka merancang pertemuan tersebut. 

Menurut beliau, melalui pertemuan tersebut  diharapkan hubungan silaturahim antara semua pihak akan sentiasa berterusan. 

“Tak usah pedulikan konflik yang telah berlaku selama ini di antara kita semua.  Jom, kita cari titik persamaan yang terbaik, kerana diakhirnya kita semua tetap bernaung di bawah Jalur Gemilang yang sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -