
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) digesa untuk tidak menjual pegangan saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan BlackRock Inc (BlackRock).
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, semua pihak tahu bahawa Khazanah telah menjemput BlackRock untuk bersama mengambil alih MAHB dan menyahsenaraikannya daripada pasaran saham.
“Beberapa bulan lepas, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah menamakan BlackRock antara entiti yang terlibat dalam jenayah perang.
“Syarikat tersebut turut terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Semenanjung Gaza terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam Sidang Media Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenai isu penjualan saham MAHB kepada GIP BlackRock, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah dan Ahli Parlimen Jerai, Roslan Hashim.
Menurut beliau, pengkhianatan sebegitu harus dihentikan terutamanya berkaitan penjualan sebahagian saham MAHB kepada BlackRock.
Tambahnya, PNB dan Amanah sahamnya seperti Amanah Saham Berhad (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) mempunyai 81 juta pegangan saham atau lebih kurang lima peratus dalam MAHB.
“KWAP yang menjaga pencen penjawat awam pula memiliki hampir 120 juta saham atau tujuh peratus dalam MAHB.
“Saya menyeru kepada PNB dan KWAP supaya jangan jual saham ini kerana Khazanah/BlackRock membeli pada harga murah iaitu RM11 sesaham. Dianggarkan harga nilai sebenar MAHB mininum ialah RM16 sesaham.
“Jika PNB dan KWAP menjual pada harga RM11, pemegang saham ASB dan penjawat awam ratanya Melayu Islam akan rugi hampir RM1 billion.
“Dengan lain kata, orang Melayu memberi subsidi atau diskaun kepada Khazanah/BlackRock sebanyak RM1 billion. Jangan jual kerana MAHB tidak rugi.
“Tahun lepas MAHB untung lebih setengah billion (RM534 juta). Sehingga bulan enam tahun ini, MAHB sudah untung hampir RM395 juta iaitu peningkatan hampir 90 peratus dari tempoh sama tahun lepas.
“Jumlah penumpang juga naik tahun ini iaitu sebanyak 16 peratus manakala pegangan tunai pula hampir RM2 billion. Maka, jangan jual saham tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Fayhsal menyeru kepada semua bangsa Melayu yang ada saham di dalam ASB dan penjawat awam supaya mendesak PNB dan KWAP untuk tidak menjual begitu murah kepada BlackRock.
Kata beliau lagi, MAHB memegang 39 buah lapangan terbang dalam negara ini dan satu lapangan terbang antarabangsa di Turkiye yang mempunyai potensi yang amat besar.
“Kita harus ingat jika BlackRock memiliki kawalan terhadap MAHB, syarikat penyokong tegar dan penyumbang dana kepada Israel ini akan mempunyai kuasa terhadap kesemua 39 lapangan terbang dalam negara ini sepanjang 45 tahun akan datang.
“MAHB juga ada pegangan tanah yang besar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Usahlah kita berkomplot dengan Zionis.
“Ini kerana jika kita masih bersama BlackRock bermakna kita secara terang-terangan bersama Israel membunuh kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa di Gaza,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024




















