
ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim melawat rumah Roimah Hashim, 55, di Kampung Belat Batu pagi tadi untuk meninjau keadaan rumahnya yang memerlukan baik pulih.
Roimah yang tinggal bersendirian bekerja sebagai penjaga orang sakit dengan upah bulanan di mana rumahnya mengalami kerosakan struktur serius akibat serangan anai-anai dan reput kayu, selain pernah terjejas oleh ribut.
Tambahan pula, rumah tersebut terletak di kawasan berpotensi dinaiki air ketika banjir besar yang tentunya akan menyebabkan kehidupan dan rutin harian terjejas.
“Walaupun air tidak naik semasa banjir biasa, namun jika hujan terlalu lebat, air akan masuk ke dalam rumah,” kata Ustaz Mohd Ridzuan.
Turut sama, Setiausaha Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Belat Batu, Ustaz Khourudin Othman dan Amil Masjid Arau, Hamzah Hussin.
Menurut Ustaz Mohd Ridzuan, pihak MPKK dan Amil Masjid Arau sedang dalam perbincangan untuk menilai kos baik pulih rumah Roimah, dengan anggaran kos antara RM20,000 hingga RM25,000.
“Anggaran ini bergantung kepada sama ada dinding rumah perlu diganti sepenuhnya atau cukup dengan baik pulih kecil,” katanya lagi.
Selain meninjau keadaan rumah Roimah, beliau turut meneliti masalah perparitan di Kampung Belat Batu yang menyebabkan banjir semasa hujan lebat.
“Kampung-kampung seperti Titi Besi, Paloh, Jelempok dan Belat Batu adalah kawasan yang sering terjejas teruk oleh banjir, terutama akibat hujan lebat yang berpanjangan.
“Kawasan tanah rendah dan masalah teknikal seperti pintu belat yang lambat ditutup atau air yang mengalir melalui bawah pintu belat,” jelasnya.
Antara faktor lain menyumbang kepada banjir beritahunya, termasuk tebing rendah serta sampah sarap dan ranting yang menyumbat parit.
Namun begitu ujarnya, kebanyakan punca teknikal tersebut telah diatasi melalui projek naik taraf longkang, korek sungai dan memperluas parit dengan kos hampir RM1 juta setakat ini.
“Walaupun banyak langkah pencegahan telah diambil, kedudukan kampung-kampung ini yang terletak berdekatan sungai menyulitkan untuk mengelak banjir sepenuhnya.
“Jika tandop (bendungan) tidak dibuka dan sungai penuh, air akan tetap melimpah masuk,” tambahnya turut memberi jaminan tindakan lanjut akan diambil untuk terus menangani masalah banjir demi kesejahteraan penduduk. – HARAKAHDAILY 16/10/2024












