
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengharapkan beberapa aspek penting dapat difokuskan kepada golongan wanita dalam pembentangan belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober (Jumaat) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan DMPM, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, fokus pertama adalah peningkatan peluang pekerjaan.
Beliau berkata, wanita mengharapkan belanjawan negara dapat diberi tumpuan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, termasuk insentif kepada syarikat untuk mengambil pekerja wanita, khususnya di sektor teknologi, sains, dan keusahawanan.
“Kedua, ramai wanita berharap belanjawan negara pada kali ini dapat memperuntukkan lebih banyak geran dan pinjaman mikro yang dikhususkan untuk usahawan wanita, khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
“Seterusnya, pemberian kemudahan pendidikan dan latihan.
“Wanita sering mengharapkan pelaburan yang lebih besar dalam pendidikan dan latihan, terutamanya untuk memperkasakan mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM), keusahawanan, dan kemahiran digital,” katanya menerusi kenyataan media di laman Facebook DMPM.
Tambah beliau, dalam pembentangan nanti diharapkan pihak kerajaan dapat menyediakan insentif kepada pembinaan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti dan mampu milik, serta sokongan untuk penjagaan kesihatan wanita seperti penjagaan ibu mengandung, rawatan kanser dan kesihatan mental, adalah penting bagi wanita.
Selain itu, katanya wanita turut berharap dasar cuti bersalin dan cuti menjaga anak akan terus diperkukuhkan.
“Ini termasuk sokongan kepada bapa untuk mengambil cuti penjagaan anak, yang dapat menggalakkan keseimbangan tanggungjawab keluarga,” ujarnya.
Najihatussalehah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota berkata, pembentangan belanjawan pada Jumaat nanti dapat memperuntukkan sumber bagi program untuk melindungi wanita dari keganasan domestik, gangguan seksual, dan diskriminasi di tempat kerja.
Justeru, ujar beliau, wanita juga mengharapkan perdana Menteri dapat mengumumkan langkah-langkah yang boleh mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti subsidi untuk barangan keperluan asas, pendidikan, dan penjagaan kesihatan yang lebih murah serta perumahan mampu milik.
“Dengan pelaburan dalam bidang-bidang ini, ia dapat membantu memperkasakan wanita dan memperbaiki kualiti hidup mereka secara keseluruhan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024




















