
ALOR SETAR: Seramai 1,000 usahawan wanita daripada 36 DUN seluruh Kedah menerima bantuan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera pada majlis yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini semalam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada ucapannya berkata, wanita sekarang bukan lagi sekadar berperanan di dalam rumah tangga tetapi juga sebagai pemacu utama dalam sektor ekonomi.
Justeru katanya, untuk memastikan kekal relevan, para usahawan perlu mendapatkan bimbingan dan latihan berterusan dan cekap menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan.
“Tabung Usahawan Wanita Sejahtera ini diwujudkan sebagai platform sokongan bagi membantu para usahawan wanita membuat pusingan modal bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Namun perkembangan teknologi telah membawa satu dimensi baru kepada golongan wanita untuk melibatkan diri dengan perniagaan atas talian.
“Ramai yang berjaya berniaga dengan ratusan ribu malahan mencecah jutaan ringgit dengan menjalankan perniagaan hanya dari rumah,” katanya lagi.
Oleh itu beliau berharap, lebih ramai usahawan wanita akan berjaya dan sekali gus menjadikan Kedah sebagai contoh terkehadapan kepada pembangunan ekonomi berasaskan keusahawanan wanita.
Pada majlis itu juga, ditampilkan usahawan dan pempengaruh terkenal, Siti Nabilah Dol Bahrin atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Nab, berkongsi pengalaman kejayaan perniagaannya.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin, para Exco Kerajaan Negeri dan ADUN-ADUN Negeri Kedah.
Tabung Usahawan Wanita Sejahtera menyasar sumbangan sebanyak RM500 setiap penerima untuk membantu sama memperkembangkan perniagaan mereka. – HARAKAHDAILY 15/10/2024












