Pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan: Kerajaan perlu lebih telus 

Zarina Zainal Abidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menggesa Kerajaan Madani untuk tidak menerima atau menolak permohonan kewarganegaraan dari warga  asing secara sembarangan.

Pengerusi Biro Undang-undang Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin berkata, parti itu menyatakan pendirian tegas terhadap pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan yang akan dibentangkan di Parlimen.  

- Advertisement -

“Isu ini adalah serius dan berpotensi memberi kesan besar terhadap kedaulatan negara. Semua aspek perlu diteliti dengan teliti sebelum membuat keputusan. 

“Jangan terburu-buru. Kedaulatan negara harus diutamakan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu lebih telus dalam mempertimbangkan perkara tersebut. 

“Pelbagai syarat perlu dipenuhi bukan sekadar dengan mudahnya asalkan anak tersebut lahir di Malaysia, maka secara automatisnya ibu bapanya kelak seolah-olah sedang ‘menunggu giliran’ untuk dialu-alukan sebagai salah seorang warganegara seterusnya,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan, kehadiran 1.2 juta warga China di Malaysia dan kebimbangan untuk menambah lagi beban kepada negara dengan individu yang mungkin tidak layak diterima menjadi warga Malaysia. 

Justeru, Zarina  menegaskan agar kerajaan tidak menunggu masalah timbul terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan.

“Sebagai langkah proaktif, PUTRA mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menilai isu ini dengan lebih telus.

“PUTRA juga menyeru kajian semula terhadap Perkara 14 dan 15 Perlembagaan Malaysia yang berkaitan dengan kewarganegaraan,” katanya.

Rakyat Malaysia, ujar beliau,  sudah muak dengan situasi semasa dan tidak akan membiarkan negara ini ‘dilacurkan’ kepada individu yang patut dipertikaikan kewarganegaraannya. 

“PUTRA bertekad untuk memastikan Malaysia kekal bersih dan berintegriti,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -