Perlis Cyclo Fest semarak pelancongan TMP 2024-2025

- Advertisement -

KANGAR: Penganjuran sukan pelancongan seperti Perlis Cyclo Fest 2024 dilihat berupaya menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, merentasi pelbagai peringkat umur dan bangsa.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Negeri, Razali Saad berkata, acara seperti itu bukan sahaja membudayakan aktiviti berbasikal, tetapi juga berperanan penting dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Alhamdulillah, melalui acara seperti ini, kita dapat melahirkan lebih ramai bakat pelapis dalam sukan berbasikal yang secara tidak langsung membantu membangunkan sukan dan pelancongan negara,” katanya.

Beliau hadir menyampaikan hadiah kepada peserta sukan tersebut yang terlibat kayuhan basikal sejauh 104 kilometer di Taman Buah-Buahan Eksotik (TBE), Sungai Batu Pahat, di sini kelmarin.

Perlis Cyclo Fest 2024, sebuah festival bertaraf antarabangsa, dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis bersama Kementerian Pelancongan dan Persatuan Berbasikal Negeri Perlis.

Acara ini turut diadakan bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2024 dan promosi Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025.

Turut hadir, Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan Pengarah Pertanian Perlis, Mohd Hafizuddin Othman serta Timbalan Pengarah Pertanian Perlis, Mohd Nizam Abdul Jalil.

Festival berbasikal ini berlangsung selama tiga hari dua malam di Kangar dan menampilkan pelbagai jenis basikal seperti Road Bike, Folding Bike, Mountain Bike, BMX, serta basikal klasik.

Acara terbuka kepada penyertaan peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus mempromosikan Perlis sebagai destinasi sukan pelancongan.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan seperti persembahan kebudayaan, klinik berbasikal, jualan peralatan basikal, jualan makanan, dan pertunjukan bebas BMX.

Katanya lagi, program diadakan dengan harapan untuk menarik lebih ramai pelancong dan peminat sukan basikal sempena promosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 serta persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Penganjuran festival ini juga disokong sepenuhnya oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Kerajaan Negeri Perlis, menjadikannya salah satu acara utama dalam mempromosikan pelancongan sukan di negeri ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -