
KUALA LUMPUR: Kejadian banjir di sekitar kawasan kampus Universiti Malaya (UM) telah mula reda dan laluannya sebelum ini ditutup pagi tadi telah dibuka semula.
Pihak UM yang memaklumkan aklumat tersebut turut mengesahkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam banjir kilat tersebut.
“Semua kakitangan, pelajar dan pelawat kampus dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan diri dan harta benda terperangkap dalam banjir.
“Pihak universiti akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan di kampus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pegawai Komunikasi Krisis UM, Farawahida Ismail di talian 03-79677009 atau email kepada [email protected].
Terdahulu, sesi pembelajaran di universiti berkenaan terpaksa bertukar kepada secara talian susulan keadaan banjir kilat yang teruk melanda di kawasan sekitar UM akibat hujan lebat yang melanda pagi tadi.
Laluan dalam kampus dan pintu masuk utama universiti tersebut terpaksa ditutup sejak pukul 10 pagi ini akibat daripada banjir tersebut. – HARAKAHDAILY 15/10/2024




















