
KANGAR: Hampir RM50 juta diperlukan bagi meningkatkan infrastruktur pertanian di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta di kawasan luar MADA.
Langkah ini penting untuk memastikan para petani dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil, terutamanya dalam sektor tanaman mangga harum manis dan padi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad berkata, usaha ini perlu diberi perhatian khusus bagi membantu petani mendapatkan infrastruktur terbaik.
“Kita harapkan supaya infrastruktur pertanian diberi perhatian khusus. Bukan sahaja untuk hasil harum manis, tetapi juga untuk padi, di peringkat negeri, kita cuba bantu petani mendapatkan infrastruktur terbaik,” ujarnya.
Razali mengulas demikian selepas Majlis Perasmian Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di Dewan 2020, di sini hari ini.
Beliau turut menyeru para petani agar bekerjasama dalam komuniti dan sentiasa berdamping dengan agensi pertanian untuk memastikan pengurusan pertanian yang lebih berkesan.
“Kita mahu hubungan rapat antara petani dan agensi pertanian. Ini akan memudahkan pertukaran maklumat dan mewujudkan situasi menang-menang,” katanya.
Terdahulu, Razali turut menegaskan perlunya pembaikan terhadap sistem perparitan dan saliran di kawasan sawah yang kerap kali menimbulkan masalah.
Katanya, sistem yang kurang memuaskan ini boleh menyebabkan pergerakan air tidak lancar, terutamanya ketika musim banjir, sekali gus menjejaskan hasil tanaman.
“Sistem perparitan yang kurang memuaskan sering menjadi punca utama kerugian kepada petani. Sekiranya perkara ini berterusan, petani akan terus menanggung kerugian akibat sistem yang tidak baik,” tambahnya.
Belanjawan kali ini juga diharapkannya dapat memperuntukkan dana bagi membaiki ban-ban jalan yang rosak di kawasan MADA untuk memudahkan penghantaran hasil padi ke kilang.
Dalam perkembangan berkaitan, Razali berkata, banjir yang melanda Perlis dua minggu lalu telah menjejaskan 432.9 hektar kawasan sawah, melibatkan 256 petani dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM3.5 juta.
Proses pengumpulan data mengenai sawah yang terjejas dijangka selesai pada Jumaat ini.
Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini. – HARAKAHDAILY 15/10/2024












