
BALING: Kampung Tanjung Langsat antara lokasi yang terkesan teruk akibat banjir yang melanda di daerah ini telah menerima kunjungan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, semalam.
Pimpinan yang hadir mendapati, banjir setinggi hampir empat meter di kampung itu telah mengakibatkan sebahagian harta benda penduduk rosak dan tidak dapat digunakan lagi.
Sungguhpun ketika ini air telah surut, namun mereka tetap berjaga dan berwaspada, bimbang sekiranya berlaku hujan lebat, kemungkinan banjir berlaku semula, apatah lagi kampung tersebut berada berhampiran sungai.
Kunjungan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah yang diketuai Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan harian kepada mangsa-mangsa terbabit.
Tiada yang terdaya diucapkan, hanya mengharapkan mereka bersabar dengan ujian Allah yang berlaku tanpa diduga itu.
Dalam pada itu, penduduk kampung tersebut dengan kerjasama Majlis Ketua Kampung (MKK), beberapa batang pokok yang tumbang di tepi tebing sungai telah dipotong dan dialihkan agar tidak menghalang aliran air dengan turut hadir, Senator Mohd Nasir Idris.
Terdahulu, Dato’ Ashah menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada PAS Kawasan Baling, sebagai meringankan beban kawasan tersebut membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Dalam perkembangan lain, seramai 22 mangsa banjir di Kampung Belimbing, Sik, juga menerima sumbangan, pada majlis ringkas yang diadakan di surau kampung terbabit, pada sebelah petang dengan turut dihadiri, ADUN Belantik, Ahmad Sulaiman.
Penerima menerima sumbangan makanan harian yang disumbangkan oleh DUN Belantik, manakala bantuan wang tunai daripada Dewan Muslimat PAS Kedah yang disampaikan oleh Dato’ Ashah.
Dalam pada itu, dua buah rumah sekitar Kampung Belimbing turut diziarahi dan menerima sumbangan.
Banjir di Daerah Baling dan Sik, berlarutan lebih daripada seminggu dan memberi kesan kepada penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Sebahagiannya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sebahagiannya ke rumah saudara mara dan surau-surau berhampiran yang tidak ditenggelami banjir.
Terdapat dari kalangan mereka terpaksa membersihkan rumah berkali-kali kerana banjir yang surut, melanda semula terutama apabila berlaku hujan lebat di waktu malam. – HARAKAHDAILY 15/10/2024














