Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan di Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menganjurkan Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di Dewan 2020, di sini bermula hari ini dan esok.

- Advertisement -

Persidangan julung kali ini dihadiri 500 peserta dari seluruh negara di mana bertujuan memperkasakan industri mangga Harumanis yang semakin penting dalam sektor pertanian negara.

Daripada jumlah peserta, 320 merupakan penanam mangga Harumanis, manakala 154 mewakili jabatan atau agensi kerajaan, 11 daripada usahawan industri asas tani, 10 dari institusi dan enam peserta dari kategori lain.

Persidangan ini menekankan kepentingan mangga Harumanis sebagai industri utama di negeri Perlis.

Keluasan kawasan penanaman mangga ini di Perlis telah mencapai 1,745.79 hektar, dengan kawasan berhasil seluas 1,611.59 hektar, menjadikan Perlis pengeluar utama mangga Harumanis di Malaysia.

Pada tahun 2024, Perlis menghasilkan 2,022 tan mangga Harumanis dengan nilai mencecah RM46.5 juta, melibatkan 2,693 petani,  menunjukkan betapa pentingnya industri ini kepada ekonomi tempatan.

Persidangan ini menjadi platform bagi pengusaha bertukar pengetahuan dan mengembangkan kaedah pengurusan tanaman yang lebih efisien melalui Amalan Pertanian Baik (APB) serta memperoleh pensijilan MyGAP (Malaysian Good Agriculture Practice).

Bertemakan “Diseminasi Teknologi Jaminan Keselamatan Makanan”, persidangan ini menekankan penggunaan teknologi dalam memastikan kualiti dan keselamatan hasil pertanian.

Objektif utama persidangan ini adalah untuk membuka peluang kepada penyelidik dan pengusaha berkongsi amalan teknologi terkini serta menggalakkan inovasi dalam kalangan pengusaha mangga Harumanis.

Sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan, termasuk dua daripada penyelidik Indonesia, manakala selebihnya daripada agensi kerajaan dan sektor swasta tempatan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Nor Sam Alwi, mewakili Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman.

Persidangan seumpama ini dilihat berupaya membantu pengusaha memanfaatkan teknologi terkini, meningkatkan daya saing, dan memajukan industri mangga Harumanis, seterusnya memperkukuhkan sektor pertanian makanan negara. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -