Tahniah johan MTHQA ke-64, Muhammad Husaini dan Nor Hidayah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muhammad Husaini Mahmur dan Nor Hidayah dinobatkan sebagai johan Qari dan Qariah dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-64.

Husaini dinobatkan johan Qari dengan meraih markah 95.71 peratus manakala Abdur Rasheed dari Pakistan di tempat kedua (93.59 peratus) dan di tempat ketiga ialah Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09).

- Advertisement -

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang dalam kategori qari manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bagi kategori qariah.

Kejayaan tersebut merupakan sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia dan menjadi satu pencapaian yang amat berharga dalam bidang penghayatan Al-Quran.

Kejayaan sebegini juga mengajar masyarakat negara ini supaya ingat akan pentingnya menghargai dan memartabatkan seni tilawah serta hafazan kitab suci Al-Quran itu sendiri.

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pemenang tersebut dan sudah tentu ianya akan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghayati serta mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Media melaporkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa Ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, menampilkan 92 peserta dari 71 negara terdiri daripada 53 bagi tilawah dan 39 hafazan.

Seramai 15 hakim dari pelbagai negara terlibat dalam majlis tersebut yang mengekalkan beberapa hakim iaitu dari Maghribi dan Turkiye selain muka baharu dari Arab Saudi dan Indonesia dengan proses penilaian meliputi aspek tajwid, fasahah, kualiti suara serta ingatan khususnya bagi peserta hafazan.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

- Advertisement -