Rakyat Malaysia tak sabar mahu runtuhkan tembok Israel – Dr Bala

Dr Bala, di samping Nadzir, ketika berucap di hadapan Masjid Al-Syakirin, Kuala Lumpur dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa, pada hari ini, 12 Oktober 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kita semua tidak akan okay sehingga Palestin benar-benar bebas daripada cengkaman negara haram Israel.”

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan atau lebih dikenali sebagai Dr Bala  berkata, bumi adalah kepunyaan Pencipta yang Maha Agung iaitu Allah SWT.

- Advertisement -

“Jadi, siapa rejim Zionis Israel yang sesuka hati ingin meneruskan pembunuhan demi pembunuhan rakyat Palestin ini?

“Bumi ini adalah milik Allah SWT dan bukannya mereka,” katanya ketika memberi ucapan di hadapan Masjid Al-Syakirin dalam Himpunan 1 Tahun Taufan Al-Aqsa hari ini.

Turut hadir ialah ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua; aktivis Palestin Hishamuddin Rais; dan aktivis Palestin berbangsa Tamil, Mythreyar Mutturamalinggam

Balachandran menegaskan, rakyat Malaysia tidak sabar lagi mahu menghancurkan tembok yang dibina oleh negara haram Israel itu sendiri.

Tambah beliau, perkara tersebut tidak dapat dilakukan selagi adanya sesetengah pihak yang bersifat Dajjal dalam negara ini yang cuba menghalang usaha sedemikian.

“Oleh sebab itu kita harus menghancurkan Dajjal dalam negara ini terlebih dahulu dan kemudian baru boleh hancurkan tembok negara haram Israel.

“Ini kerana selagi mereka masih ada dalam negara ini maka walau sebanyak mana pun kita protes untuk rakyat Palestin keadaan tetap tidak akan berubah.

“Maka, pentingnya untuk kita memahami betul-betul perkara ini memandangkan sekarang merupakan dunia akhir zaman,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr. Bala memberi amaran kepada Amerika Syarikat bahawa rakyat Malaysia tidak akan sesekali menyokong kezaliman negara haram Israel.

“Ini kerana kita semua tidak akan duduk diam sehingga rakyat Palestin benar-benar merdeka daripada segala kezaliman yang dilakukan oleh negara haram Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

- Advertisement -