Allah Maha memberi rezeki kepada hamba-hambaNya

- Advertisement -

HANNAH membawa Maryam ke Masjid Baitulmaqdis dan meletakkannya di sana untuk dipelihara. Memandangkan suaminya, Imran, dikenali ramai sebagai seorang yang berkhidmat lama di masjid tersebut, ramai yang tergerak hati untuk mengambil tanggungjawab memelihara anaknya. Keadaan menjadi kecoh seketika, kerana masing-masing ingin menjadi penjaga Maryam.

Nabi Zakaria, yang juga mempunyai hubungan keluarga dengan Maryam, mendengar perbualan ini. Baginda pun tergerak untuk mengambil Maryam di bawah jagaannya. Namun, melihat bahawa ramai yang lain juga ingin memelihara Maryam, Nabi Zakaria mencadangkan cabutan undi sebagai penyelesaian.

- Advertisement -

Maka, setiap mereka pun mengambil anak panah dan mencampakkannya ke dalam sungai. Anak panah siapa yang timbul akan berhak memelihara Maryam.

Menurut riwayat, terdapat seramai 29 orang yang merebut peluang untuk menjaga Maryam. Anak panah biasanya tenggelam, tetapi dengan izin Allah, hanya anak panah Nabi Zakaria yang timbul. Maka, beliaulah yang dipilih untuk memelihara Maryam (rujukan: Surah Ali ‘Imran, 37).

Nabi Zakaria menerima Maryam dengan hati terbuka dan segera membina bilik khas untuknya di dalam masjid. Bilik ini berada di tempat tinggi, memerlukan tangga untuk mencapainya, dan tiada siapa yang boleh masuk kecuali Nabi Zakaria sendiri.

Beliau juga memegang satu-satunya kunci ke bilik tersebut. Setiap hari, Nabi Zakaria akan membawa makanan dan minuman untuk Maryam.

Namun, lama-kelamaan, Nabi Zakaria mula berasa hairan. Setiap kali beliau masuk ke bilik Maryam, ada sahaja makanan yang sudah tersedia, kadang-kadang dalam bentuk buah-buahan yang tidak mengikut musim!

Sebagai contoh, seperti di tempat kita, buah-buahan seperti durian yang hanya terdapat pada musim tertentu, tetapi Maryam menerima buah-buahan yang luar biasa di luar musimnya.

Nabi Zakaria tertanya-tanya, dari mana makanan tersebut datang, kerana pada zaman itu, tiada perkhidmatan penghantaran seperti GrabFood atau Foodpanda. Tambahan pula, baginda satu-satunya yang memegang kunci bilik, dan Maryam tidak pernah keluar untuk membeli makanan.

Suatu hari, beliau bertanya kepada Maryam, “Wahai Maryam, dari mana datangnya buah-buahan ini?” Dengan tenang, Maryam menjawab, “Ini dari Allah. Sesungguhnya, Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan” (rujukan: Surah Ali ‘Imran, 37).

Jawapan Maryam begitu tulus dan penuh keyakinan, kerana dia memahami bahawa ini adalah rezeki yang Allah kurniakan.

Baginya, kehadiran makanan tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana dia tahu Allah Maha Pemurah dan mampu memberikan rezeki dalam bentuk apa sahaja, bila-bila masa, dan di mana-mana sahaja.

Inilah yang kita panggil sebagai keramat, suatu kelebihan yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya yang terpilih.

Kisah ini mengingatkan kita tentang kebesaran Allah dalam memberikan rezeki, yang tidak semestinya datang dengan cara yang biasa atau melalui usaha manusia sahaja.

Allah boleh mengatur rezeki dari sumber yang tidak dijangka-jangka. Apa yang berlaku kepada Maryam merupakan tanda kasih sayang Allah yang memelihara dan menyokong hamba-Nya dengan keajaiban-keajaiban yang melampaui kebiasaan. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -