
KUALA LUMPUR: Perjuangan membebaskan negara Palestin adalah bersifat fardhu ain iaitu wajib kepada setiap umat Islam.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sudah terlalu banyak kezaliman yang dilakukan oleh negara haram Israel.
“Maka, adalah satu kewajipan untuk setiap umat Islam tidak kira di mana berjuang untuk membebaskan Palestin daripada kezaliman negara haram Israel,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa iaitu di hadapan bangunan Alps Ethical Life Science yang berhampiran dengan Kedutaan Amerika Syarikat hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya; dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Juga hadir Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali; Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ketua Penerangan Pemuda PAS merangkap Ketua Operasi Sekretariat Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa, Nadzir Helmi; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua dan aktivis Palestin, Hishamuddin Rais.
Menurut Khalil, seluruh rakyat negara ini adalah jelas bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin.
Tambah beliau, umat Islam tidak lagi boleh berdiam diri mengenai serangan demi serangan dilakukan oleh negara haram Israel terhadap rakyat Palestin itu sendiri.
“Maka adalah kewajipan untuk kita berjuang dengan apa yang termampu bagi membantu rakyat Palestin yang dizalimi negara haram Israel.
“Kita percaya bahawa janji Allah SWT itu pasti yakni Palestin akan bebas daripada segala bentuk penjajahan yang dilakukan oleh negara haram Israel,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dr. Khalil menyatakan rakyat negara ini tidak akan sesekali membiarkan kezaliman negara haram Israel untuk terus berlaku.
Kata beliau lagi, ini kerana Palestin adalah milik orang-orang Islam dan janji Allah mengenai perkara tersebut adalah benar.
“Maka, kita akan terus berjuang bersama-sama dengan rakyat Palestin ini dan yakin dengan janji Allah S.W.T. bahawa Palestin akan merdeka,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2024




















