Korban satu tahun Taufan al-Aqsa

Gaza yang punah dibom rejim Zionis Israel.
- Advertisement -

7 Oktober 2024, genap satu tahun operasi Taufan al-Aqsa yang telah menarik perhatian dunia terhadap apa yang berlaku ke atas penduduk Palestin setelah mereka “dilupakan”.

Sebelum itu, penderitaan dan tekanan yang dihadapi oleh penduduk Gaza dan Tebing Barat seakan dikhianati oleh negara-negara Arab dan Islam yang terus menerus melakukan normalisasi dengan negara haram Israel.

Semuanya terhenti apabila operasi ketenteraan yang dirancang oleh Muhammad Deif dan Yahya Sinwar telah membuka mata banyak pihak bahawa semakin kuat penindasan yang dikenakan, maka penentangan juga akan semakin kuat.

Hamas menawan 251 warga Israel untuk dijadikan tebusan dan pertukaran dengan sejumlah besar tahanan warga Palestin yang dipenjarakan tanpa alasan yang jelas.

- Advertisement -

Sebelum Oktober 2023, dunia luar tidak pernah mengutuk tindakan rejim Zionis yang memenjarakan 5,200 penduduk Palestin termasuk 170 kanak-kanak secara zalim.

Mereka menghadapi penyeksaan fizikal dan mental yang tidak dapat digambarkan sebagai manusia yang hidup pada zaman ini. Seorang bekas tahanan di penjara Zionis pernah membayangkan mati dibom di Gaza hanya sekali, namun “mati” dalam penjara adalah berkali-kali dan pada setiap hari.

Setakat bulan Ogos 2024, seramai 117 tawanan warga Israel telah dihantar pulang dengan pertukaran sejumlah tahanan warga Palestin. Dipercayai 31 orang tawanan telah terbunuh akibat serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel ke atas Gaza dan jumlah yang masih hidup tidak dapat dipastikan. Pihak Hamas masih lagi menawarkan pertukaran tawanan dengan syarat Israel bersetuju dengan pelan gencatan senjata yang sehingga kini menemui jalan buntu.

Selama satu tahun ini juga, dunia luar dapat melihat satu krisis kemanusiaan yang paling buruk pada abad ini. Dalam masa satu tahun serangan genosid yang dilakukan oleh Zionis Israel di semenanjung Gaza, lebih 41,870 orang telah terkorban.

Kementerian Pendidikan Palestin melaporkan lebih dari 10,888 kanak-kanak telah terkorban, bersama dengan 529 guru dan kakitangan pentadbiran. Sementara itu, sejumlah 17,224 orang kanak-kanak dan 3,686 guru mengalami kecederaan. Manakala 45,000 pelajar telah terkandas di mana sesi persekolahan telah ditangguhkan bagi tahun kedua.

Dilaporkan setakat September 2024, sekurang-kurangnya 297,000 unit rumah di Gaza mengalami kerosakan teruk, manakala 87,000 kediaman dicatatkan musnah sama sekali.

Di pihak musuh, berdasarkan maklumat tentera Israel, seramai 726 anggota tentera terbunuh sejak perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu. Daripada jumlah itu, seramai 380 tentera Israel terbunuh dalam serangan pada 7 Oktober 2023, manakala 346 lagi terbunuh dalam pertempuran di Gaza yang bermula pada 27 Oktober 2023.

Jumlah anggota tentera yang cedera sejak serangan dilancarkan adalah seramai 4,576 orang, manakala 56 orang tentera terkorban akibat kemalangan dalam operasi.

Kini, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant menumpukan sasaran serangan ke arah Beirut dan wilayah selatan Lubnan termasuk sasaran lain seperti Damsyik di Syria dan Hudaidah di Yaman. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -