
KUALA LUMPUR: “Kami sebagai para mahasiswa dan mahasiswi akan terus memboikot mana-mana pihak yang menyokong negara haram Israel.”
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman berkata, sudah terlalu lama rakyat Palestin menderita akibat serangan Zionis Israel.
“Kami tidak akan pernah berdiam diri mengenai isu Palestin kerana jiwa kami adalah bersama-sama dengan mereka,” katanya ketika memberi ucapan di hadapan Masjid Al-Syakirin dalam Himpunan 1 Tahun Taufan Al-Aqsa, hari ini.
Turut hadir ialah ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua, aktivis Palestin Hishamuddin Rais, dan aktivis Palestin berbangsa Tamil, Mythreyar Mutturamalinggam.
Menurut Imran, perhimpunan pada hari ini menunjukkan bahawa isu Palestin tidak pernah hilang dalam pemikiran majoriti rakyat negara ini.
Tambah beliau, amalan-amalan boikot terhadap segala produk yang menyokong negara haram Israel akan tetap diteruskan.
“Kita tidak akan berhenti melakukan boikot sama ada dari segi ekonomi mahupun politik terhadap apa jua barangan yang menyokong negara haram tersebut.
“Ini adalah sebagai bukti bahawa kami dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi pun akan terus bersama-sama dengan rakyat Palestin.
“Tambahan pula, kami sesekali pun tidak akan menerima segala kezaliman yang dilakukan oleh negara haram Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa,” ujarnya.
Sehubungan itu, Imran menyatakan perlunya lebih banyak lagi kesedaran diberikan kepada Amerika Syarikat bahawa rakyat Malaysia tidak akan sesekali menerima segala kezaliman yang dilakukan oleh negara haram Israel.
Kata beliau lagi, amalan-amalan boikot sebegini akan terus dilakukan sehinggalah rakyat Palestin benar-benar merdeka.
“Kami akan terus memboikot segala barangan yang menyokong negara haram Israel sehingga Palestin benar-benar merdeka daripada cengkaman mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2024




















