Tahun Taufan Al-Aqsa: Satu langkah ke arah pembebasan Baitul Maqdis

Yahya Sinwar yang menerajui kepimpinan Hamas.
- Advertisement -

OPERASI Taufan al-Aqsa yang dilancarkan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023 yang lalu menjadi titik penting dalam konflik Palestin-rejim Zionis Israel sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.

Hakikat ini diakui sendiri oleh pihak rejim Zionis Israel yang meletakkannya sebagai kegagalan terbesar sejak 75 tahun lalu.

Walaupun serangan balas yang dilancarkan genap setahun dengan sokongan dan dokongan padu dari Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya, namun rejim Zionis Israel masih gagal untuk mencapai tiga objektif utamanya iaitu; menghancurkan Hamas, menghancurkan jaringan terowong dan membebaskan tawanan.

- Advertisement -

Rejim Zionis Israel bukan sahaja gagal menghapuskan Hamas bahkan pengaruh Hamas makin meluas di kalangan rakyat Palestin. Ini adalah realiti yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak termasuk Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan khususnya mewajahkan Hamas sebagai sebuah kumpulan pengganas serta pelbagai lagi label kejahatan, namun kesemuanya menemui kegagalan.

Ini kerana realitinya Hamas adalah gerakan yang datang dari denyut jantung rakyat Palestin yang mahu melihat kemerdekaan tanah air mereka dari penjajahan rejim Zionis Israel.

Hamas yang membawa wadah Islam menjadi harapan baharu rakyat Palestin setelah kegagalan wadah nasionalisme Arab.
Ia bukan sahaja kumpulan bersenjata melalui sayap ketenteraannya al-Qassam bahkan juga gerakan politik, dakwah dan kemasyarakatan.

Kebijaksanaan Hamas mengurus konflik Palestin-rejim Zionis Israel sejak ditubuhkan pada akhir 1980-an menjadi keyakinan kepada rakyat Palestin untuk mewakili mereka bagi membebaskan bumi Palestin secara total daripada penjajahan rejim Zionis Israel.

Sebagai pertubuhan yang sah, Hamas menyertai pilihan raya dan mendapat kemenangan yang besar bukan sahaja di Gaza bahkan di Tebing Barat.

Pada pilihan raya tahun 2006, Hamas mendahului pertubuhan-pertubuhan lain dengan mendapat jumlah kerusi sebanyak 74 berbanding seterusnya, PLO yang hanya mendapat 42 kerusi.

Tindakan Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu yang meletakkan objektif utamanya untuk menghancurkan Hamas turut dikritik oleh pimpinan Zionis dan Barat yang menganggapnya adalah mustahil kerana Hamas adalah ideologi yang ada dalam diri rakyat Palestin.

HAMAS serta kumpulan pejuang Palestin yang lain bukanlah “gerakan pengganas” tetapi sebuah gerakan pembebasan yang mempunyai kewujudan undang-undang, diiktiraf oleh rakyat Palestin dan di peringkat antarabangsa.

Ia adalah komponen tulen dan penting dalam gerakan pembebasan bumi Palestin dan naratif palsu yang diberikan oleh pembela rejim zionis Israel adalah tidak terpakai dan dusta semata-mata.

Penentangan rakyat Palestin terhadap penjajahan rejim zionis Israel bukanlah keganasan tetapi hak pertahanan yang sah yang dilaksanakan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan sebagaimana Piagam PBB.

Begitu juga beberapa resolusi PBB, khususnya Resolusi 3070 (XXVIII), di samping Resolusi No. 2649/1970, 2787/1971 dan 3103/1974, yang menegaskan kewajaran perjuangan rakyat untuk membebaskan diri dari penjajahan dan penaklukan asing dengan segala cara.

Apa yang seluruh dunia lihat hari ini adalah kemuncak kegigihan dan kekuatan penentangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan rejim zionis Israel.

Secara teorinya, hari ini rejim zionis Israel telah mula tersungkur dan kalah kepada kumpulan pejuang mahu pun rakyat Palestin baik dari sudut media mahu pun ketenteraan.

Sebagaimana ramalan dan ungkapan ramai penganalisis geopolitik dunia ketika ini, ia adalah permulaan kepada keruntuhan “empayar” rejim zionis Israel yang dicipta Barat untuk menguasai Timur Tengah seterusnya “mematikan” mitos ungkapan pengganas terhadap rakyat Palestin yang selama ini memperjuangkan pembebasan dan kemerdekaan tanah air mereka.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

- Advertisement -