Penubuhan SkimPAS kini lebih satu dekad

Setiausaha Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP), Ahmad Abdullah Sanek
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lebih satu dekad manfaat Skim Kifalah Ahli PAS (SkimPAS) telah diinisiatifkan oleh Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP) bagi tujuan menjaga kebajikan ahli.

Setiausahanya, Ahmad Abdullah Sanek, berkata SkimPAS terbuka kepada sesiapa untuk mencarum tetapi dengan syarat pencarum mestilah ahli PAS bagi Muslim dan ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) (bagi bukan Muslim).

- Advertisement -

Ahmad berkata, syarat umur untuk melayakkan pencarum ini adalah ahli yang berumur 15 tahun dan ke atas sehingga tiada had berbanding sebelum ini, syarat umur adalah 18 tahun dan ke atas.

“Manfaat yang diterima pencarum ialah umur 65 tahun ke bawah, sekiranya telah meninggal dunia ataupun cacat kekal akan mendapat manfaat sebanyak RM10,000.

“Selain itu, umur pencarum bagi 65 tahun dan ke atas, manfaatnya hanya RM1,000 cumanya yang boleh dituntut manfaat kemalangan untuk setahun maksimum.

“Oleh yang demikian, SkimPAS akan bayar RM500 mengikut bayaran hospital kemalangan sahaja termasuklah kemalangan domestik,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat Agung PAS Pusat, Jalan Raja Laut, Chow Kit, di sini, hari ini.

Beliau berkata, SkimPAS kini telah membuat promosi caruman secara besar-besaran untuk mencapai sasaran 30,000 pencarum di seluruh negara.

“Setakat data hari ini, kita telah mencapai 21,000 lagi dan berbaki 9,000 pencarum. Maka saya berharap, semua ahli PAS bukan di Malaysia sahaja, malah seluruh dunia pun masih boleh untuk mencarum manfaat ini.

“Oleh itu, para pencarum juga boleh mendaftar sebagai ahli SkimPAS melalui laman sesawang dan juga boleh memperbaharui keahlian jika telah tamat tempoh.

“Hal demikian akan memudahkan lagi kepada para pencarum tidak kira berada di mana dan selain itu juga, bayaran ini hanya RM55 setahun,”katanya.

Selain itu, orang ramai yang ingin mencarum dan mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi di talian hotline LKKSPP, 011-5897 0700 dan layari laman sesawang di https://skimpas.com/.

SkimPAS telah ditubuhkan sejak 2013 dan kemudian manfaat ini telah berkembang lebih meluas dan tersusun oleh Pengerusi LKKSPP, Dr Rosni Adam pada 2018 sehingga kini. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

- Advertisement -