
NEW YORK: Mahkamah pada Khamis memaklumkan perbicaraan penyanyi rap Amerika, Sean John Combs atau lebih dikenali sebagai ‘P Diddy’ sabit dakwaan jenayah pemerdagangan dan penderaan seks bakal berlangsung pada 5 Mei 2025.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Arun Subramanian berkata, Combs akan kekal dipenjarakan selepas dia didakwa bulan lalu atas tiga pertuduhan jenayah kerana mendera wanita secara seksual dan memaksa mereka ke pesta seks yang didorong oleh dadah menggunakan ancaman dan keganasan.
Combs, 54, telah ditahan pasukan FBI di sebuah hotel di Manhattan, di sini atas tuduhan pemerdagangan dan penderaan seks pada 17 September 2024.
Sehubungan itu, rapper jutawan itu telah dinafikan hak ikat jaminnya sebanyak dua kali kerana pendakwa raya telah menyuarakan kebimbangan mengenai gangguan yang dikemukakan oleh saksi, di mana dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut, lapor Arab News.
Ketika memasuki ruang mahkamah, Combs dilaporkan memakai baju dan seluar berkedut berwarna cerah, menyambut ibu dan anak-anaknya yang menghadiri perbicaraan itu.
Pendakwa Raya, Emily Johnson berkata, masih terdapat lebih banyak bukti untuk dikemukakan, dengan menyatakan bahawa sebanyak 96 peranti elektronik telah dirampas pada Mac dengan berkemungkinan lebih banyak pertuduhan.
Tuduhan terhadap pemenang Grammy itu semakin meningkat sejak tahun lalu, apabila penyanyi Cassie, atau nama sebenarnya Casandra Ventura mendakwa Combs telah menyebabkan dia dikenakan paksaan lebih sedekad dengan kekerasan fizikal dan dadah, serta pemerkosaan pada 2018.
Sejak itu, banyak tindakan undang-undang sivil serupa telah diambil, sekaligus menggambarkan Combs sebagai seorang lelaki ganas yang menggunakan status selebritinya untuk menjadikan wanita dan lelaki sebagai mangsanya.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan lebih 100 individu telah memfailkan dakwaan di mahkamah terhadap penyanyi rap itu sabit tuduhan menyerang atau mengeksploitasi mereka, dengan sebahagian daripada mereka merupakan kanak-kanak.
Agensi berita, AFP pada 2 Oktober 2024 melaporkan bahawa sebanyak 3,000 individu telah tampil mendakwa menjadi mangsa Combs, dengan lebih 100 individu termasuk puluhan kanak-kanak memfailkan tuntutan saman terhadap bintang rap Amerika Syarikat itu.
Seorang peguam kepada mangsa yang berpangkalan di Texas, Tony Buzbee pada ketika itu mendedahkan bahawa 120 individu termasuk 25 kanak-kanak merancang untuk mengambil tindakan sivil terhadap bintang rap berkenaan.
Daripada 120 individu tersebut, 60 daripadanya adalah lelaki dan 60 perempuan, dengan 25 orang adalah kanak-kanak bawah umur apabila mereka menjadi sasaran salah laku atas tuduhan pemerdagangan dan penderaan seks Combs.
“Saya boleh katakan 90 peratus daripada kes, individu ini diberi dadah.
“Kebanyakan kejadian pemerkosaan berulang kali terhadap remaja didakwa dilakukan Combs dan rakan-rakannya,” katanya pada sidang akhbar di Houston.
Terdahulu juga, tular di media sosial mendakwa Combs dikaitkan dengan kematian mencurigakan Kimberly Porter, 48, yang merupakan bekas pasangannya dan ibu kepada tiga anak mereka, pada 15 November 2018.
Selain itu, Combs juga dikaitkan dengan kematian Britanny Murphy, aktres muda yang pernah menghadiri parti di kediaman Combs, yang meninggal dunia pada 20 Dis 2009 di kediamannya di Hollywood Hills pada usia 32 tahun, sebelum lima bulan kemudian suaminya, Simon Monjack juga ditemui mati di rumah agam tersebut.
Ketiga-tiga Porter, Murphy dan Monjack disahkan pihak hospital meninggal dunia akibat pneumonia, biarpun bapa Murphy mendakwa anaknya itu diracuni.
Dakwaan terhadap Combs itu telah menyerlahkan lagi budaya hitam dalam industri hiburan di Hollywood yang dipersoalkan orang ramai yang mengatakan ia telah membenarkan corak salah laku seksual di luar batasan kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 11/10/2024




















