Prasarana awam dinaik taraf tingkat keselesaan

- Advertisement -

PADANG TERAP: Kerja-kerja menaik taraf tandas awam di belakang bangunan Arked Bakawali, Kuala Nerang, di sini telah siap sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan orang ramai dalam tempoh terdekat.

- Advertisement -

ADUN Kuala Nerang, Mohammad Yusoff@Munir Zakaria memberitahu, kos keseluruhan baik pulih itu adalah sebanyak RM158,000 dan diselia sepenuhnya oleh Majlis Daerah Padang Terap.

“Baik pulih serta naik taraf tandas ini adalah untuk memberi keselesaan kepada orang ramai yang menggunakannya,” kata beliau, di sini.

Dalam pada itu beliau juga merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah meluluskan peruntukan bagi beberapa projek naik taraf kemudahan awam di DUN Kuala Nerang.

Katanya, ia amat memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat dan pengunjung.

Terdahulu, Munir telah mengadakan lawatan meninjau perkembangan projek menaik taraf kemudahan awam tersebut.

“Sebelum ini projek menaik taraf tandas di Stesen Bas, Pekan Kuala Nerang yang menelan belanja sebanyak RM130,000 telah siap pada penghujung Julai lalu.

“Apa yang diharapkan, pengguna dan orang ramai dapat bersama-sama menjaga kebersihan kemudahan awam ini agar selesa digunakan oleh semua orang.” tambahnya lagi.

Seperkara lagi, beliau mewakili penduduk merakamkan perhargaan atas kerjasama semua pihak terutama Majlis Daerah Padang Terap atas usaha murni meningkatkan tahap keselesaan dan kebersihan kemudahan awam di DUN tersebut.

Sementara dalam perkembangan lain, seramai, 27 usahawan wanita menerima bantuan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera pada majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Nerang.

Kata Munir, bantuan itu dikhususkan untuk wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan serta memiliki kriteria dan syarat telah ditetapkan.

“Inisiatif ini merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam membantu golongan wanita memajukan perniagaan atau perusahaan kecil, seterusnya meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan mereka,” ujar  beliau. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -