
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan yang membenarkan anggota Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) melawat Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) di Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu lalu, kini menimbulkan persoalan.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata adalah lebih baik jika kerajaan mengundang wira-wira Malaysia yang pernah berkorban di tanah air bagi menyuntik semangat patriotisme dan cintakan negara.
“Agaknya bila kali terakhir sekolah ini mengundang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke sekolahnya?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, Roslan mencadangkan kerajaan agar menjemput wira negara di tanah air jika pihak sekolah tersebut mempunyai keinginan untuk menjemput tentera negara asing atau negara komunis ke sekolah.
“Lebih baik jemput Pesara Pegawai Cawangan Khas Superintendan (B), Datuk Paul Kiong yang dikurniakan anugerah Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) sekurang-kurangnya beliau merupakan bekas polis dan wira negara yang pernah berjuang melawan pihak pengganas Parti Komunis Malaya.
“Oleh demikian, beliau juga dapat memberikan penjelasan dan berkongsi pengalaman agar anak-anak kita nanti akan kasih dan sanggup mempertahankan kedaulatan negara.
“Datuk Paul dianugerahkan Darjah Kebesaran SP iaitu darjah kepahlawanan yang tertinggi dalam negara oleh Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Al-Marhum Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’Ayatuddin Al-Mu’adzam Shah,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Datuk Paul tidak akan teragak-agak untuk membunuh pengganas komunis walaupun mereka berketurunan Cina.
“Keutamaan saya adalah pada kesejahteraan negara dan taat setia saya hanya pada negara tercinta. Jika saya diarah sekali lagi untuk mengangkat senjata berkhidmat untuk negara, saya tetap akan lakukannya.
“Kepada generasi muda, ingat semangat patriotisme anda mestilah sentiasa kental. Anda hanya akan punya perasaan ini jika anda mengiktiraf diri anda dan semua warganegara seabagai rakyat Malaysia tanpa perbezaan kaum,” katanya.
Justeru, Roslan berharap agar kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan untuk mengambil maklum akan isu ini.
“Jangan lagi buka pintu pagar sekolah dalam negara buat tentera asing tapi jika mahu memberi manfaat langsung dan berkekalan jemputlah veteran dan wira-wira negara ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden melahirkan rasa dukacita dengan tindakan kerajaan yang membisu berkaitan spekulasi hangat rentetan kedatangan dua kapal tentera laut China.
Afnan Hamimi berkata, ia adalah kapal latihan Qi Jiguang dan kapal JinggangShan yang membawa 1,376 pegawai dan tentera berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu. – HARAKAHDAILY 10/10/2024




















