
JERAI: Matlamat membasmi dadah sebagai musuh nombor satu negara perlu direalisasikan oleh semua pihak dan bukannya tertumpu kepada agensi tertentu sahaja, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria.
Menurutnya, walaupun Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) iaitu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah dibentuk untuk membantu merealisasikan hasrat itu, tetapi amanah tersebut adalah tanggungjawab bersama.
“Walau bagaimanapun JKPD dan PRS ini yang diibaratkan sebagai ‘frontliner’ dan penggerak utama perlu memberi perhatian yang serius untul merealisasikan matlamat kerajaan membasmi dadah ‘Musuh No.1 Negara’,” kata beliau.
Tegasnya lagi, peranan agensi berkenaan bukan sahaja memberi fokus kepada gejala tidak sihat tersebut, sebaliknya berperanan membentuk persekitaran komuniti terapeutik yang menyokong kepulihan klien dalam komuniti.
Mansor berkata demikian ketika merasmikan Malam Apresiasi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Negeri Kedah, 2024 di Jerai Hill Resort, Gunung Jerai, malam tadi.
Beliau menegaskan lagi, kesejahteraan komuniti adalah tanggungjawab semua, bukan hanya meletakkan kepada AADK dan agensi penguatkuasaan sahaja sekiranya semua pihak mahukan gejala negatif itu segera terhapus.
“Namun sukalah saya ingatkan, khususnya kepada para sukarelawan, tugas ini berat dan jalan yang ditempuhi juga panjang serta penuh cabaran.
“Justeru, perlu mempunyai tekad dan semangat yang kuat untuk meneruskan perjuangan yang baik ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu tegasnya lagi, JKPD dan PRS juga merupakan satu aset negeri dan tidak hanya menjadi ‘Kekuatan Kepulihan’ (Recovey Capital) dalam komuniti.
Oleh itu, objektif pelaksanaan program yang antara lain mengeratkan kerjasama antara JKPD dan PRS AADK perlu dibina dengan baik, termasuk memupuk semangat berketerampilan dan muhibah antara satu sama lain.
“Kerajaan negeri di bawah Pelan Kedah 2035 iaitu ‘Sejahtera dan Berdaya Huni’ telah menggariskan Kompetensi Tadbir Urus bagi membentuk budaya kelas pertama dalam kalangan penjawat awam.
“Oleh itu salah satunya adalah untuk memperluaskan perancangan di peringkat Jabatan dan Daerah serta meningkatkan capaian perkhidmatan awam secara digital dan mudah, menyeluruh dan seragam,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 10/10/2024












