20 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Marang

Azman (dua dari kiri) mengiringi Sultan Mizan turun menyelam bagi merasmikan pelabuhan tukun di dasar laut perairan Alur Tuman, Marang, Terengganu, pada hari ini, 10 Oktober 2024.
- Advertisement -

MARANG: Sebanyak 20 unit tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda telah dilabuhkan di perairan Alur Tuman, Marang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha melabuhkan 100 unit tukun tiruan di perairan Terengganu sepanjang tahun ini menerusi Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu. 

- Advertisement -

“Sebelum ini, 20 unit tukun telah dilabukan di setiap tapak sekitar perairan Kuala Terengganu, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus dengan jumlah kos projek berjumlah RM3.1 juta menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program melabuh tukun tiruan, kuboib juvenil penghalang pukat tunda Terengganu 2024 yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.

Majlis itu menempa sejarah apabila Baginda turut menyelam bagi merasmikan pelabuhan tukun di dasar laut pada kedalaman 17 meter.

“Saya rasa mungkin kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan merupakan yang pertama di Malaysia atau di dunia yang melakukan seumpama itu.

“Atas perkenan Sultan berangkat mencemar Duli, patik menjunjung kasih mudah-mudahan sokongan di bawah Duli Tuanku menjadi satu perangsang untuk kita memperkasakan lagi sektor perikanan kita,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, sebanyak 80 unit tukun telah dilabuhkan di beberapa kawasan termasuk perairan Kuala Terengganu, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus. 

“Siri terakhir program ini dijangka akan selesai dengan melabuhkan baki 20 unit tukun di perairan Kuala Nerus,” katanya.

Kata beliau, sejak 2006 hingga 2024, Terengganu telah melabuhkan 1,579 unit tukun di sekitar 60 tapak dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM18 juta, di mana RM13 juta datang daripada dana kerajaan negeri dan selebihnya sumbangan kerajaan persekutuan.

Tambahnya, program itu telah menunjukkan impak positif terhadap pendaratan hasil laut, dengan peningkatan ketara sebanyak 39 peratus. 

“Tahun 2022 sekitar 33,000 metrik tan meningkat kepada lebih 46,000 metrik tan pada tahun 2023 dan peningkatan kira-kira 39 peratus, jadi satu jumlah peningkatan yang sangat tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut kata beliau, tukun yang dilabuhkan sejauh lima batu nautika dari pantai itu, bertujuan melindungi kawasan tangkapan nelayan Zon A daripada pencerobohan pukat tunda.

Katanya, usaha itu akan diteruskan pada masa akan datang dengan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan bagi memperkasa sektor perikanan Terengganu.

Selain itu, kata beliau, tukun jenis lain seperti chees block, castle, dan lobster juga telah dilabuhkan, termasuk tukun rig-to-reef yang terhasil daripada pelantar minyak nyah tauliah hasil kerjasama dengan Petronas dan Habiscus Petroleum Malaysia. – HARAKAHDAILY 10/10/2024

- Advertisement -