
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kekerapan pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri.
Katanya, setiap kali berlaku pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri, pentadbiran perlu memulakan semula proses penyesuaian, sekali gus memperlahankan kesinambungan dasar yang telah dirancang.
“Setiap kali berlaku perubahan, pegawai yang baru perlu mengambil masa untuk memahami polisi sedia ada dan meneruskan pelaksanaan yang telah dirancang.
“Ini akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Pentadbiran Dewan Undangan Negeri (KOMDUN) di sini semalam.
Mohd Shukri berharap Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dilantik nanti dapat berkhidmat sehingga persaraan tanpa diganggu oleh kenaikan pangkat atau perubahan lain yang mengganggu pentadbiran.
Datuk Che Murad Sayang Ramjan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 3 Julai lepas, menggantikan Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang berpindah ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Che Murad, anak kelahiran Parit Buntar, Perak, berkelulusan Sarjana Sastera (Kajian dan Analisis Keselamatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau memulakan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha di Pasukan Petugas Khas Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1996.
Beliau juga pernah berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi serta KKDW, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW pada November 2018. – HARAKAHDAILY 11/10/2024











