
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia melalui MIMOS telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Worldcoin Foundation, Tools for Humanity (TFH) serta MyEG untuk mengintegrasikan sistem pengesahan identiti biometrik Worldcoin ke dalam infrastruktur digital Malaysia pada Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, namun perjanjian itu telah menimbulkan kebimbangan rakyat mengenai keselamatan dan penggunaan data peribadi mereka.
Menurutnya, kebimbangan itu semakin ketara apabila negara-negara lain seperti United Kingdom, Perancis, Jerman, Hong Kong, Korea Selatan dan Portugal sedang menyiasat operasi Worldcoin disebabkan risiko penyalahgunaan data.
“Timbul beberapa persoalan mengenai keputusan Kerajaan membenarkan Worldcoin untuk akses data peribadi rakyat Malaysia. Antaranya adalah, adakah data kita terjamin dan tidak akan disalahguna. Boleh kerajaan berani beri jaminan?
Beliau berkata, Kerajaan Kenya menyekat Worldcoin atas kebimbangan penyalahgunaan data, tetapi tekanan dari Amerika Syarikat memaksa Kenya membenarkan operasi syarikat tersebut, menimbulkan keraguan rakyat.
“Apa yang lagi pelik adalah, syarikat swasta dilarang beroperasi, namun Kerajaan Amerika Syarikat pula yang campur tangan. Ini menyebabkan rakyat semakin khuatir mengenai operasi Worldcoin ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Tambah beliau, semakan juga mendapati beberapa maklumat yang membimbangka, yang mana MIMOS telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Worldcoin dan TFH.
Beliau juga menyatakan, pemilik Worldcoin dan TFH adalah Sam Altman, sementara pelabur Worldcoin terdiri daripada Venture Capital, Andreessen Horowitz, dan Reid Hoffman.
Persamaan mereka, ujar beliau, adalah kesemua mereka berbangsa Yahudi, malahan Reid Hoffman pernah menyatakan hasrat untuk menaja tindakan ke atas Perwakilan Demokrat, Rashida Tlaib dari Michigan yang keras mengkritik hubungan Amerika Syarikat dan Israel.
“Kenapa sebelum kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan Worldcoin beroperasi dalam negara, tiada sebarang perbincangan dengan pemegang taruh?” soal beliau menyatakan kegusaran.
Penganalisis politik itu juga berkata, sementara negara lain berusaha mempertahankan kedaulatan data, kerajaan dengan mudah memberikan akses kepada entiti asing yang mempunyai kaitan dengan individu Yahudi dan Kerajaan Amerika Syarikat.
“Perdana Menteri, Menteri Sains dan Teknologi dan Menteri Komunikasi dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi wajib tampil memberikan penjelasan mengenai kebimbangan rakyat ini.
“Sehingga penjelasan diberikan, rakyat Malaysia diseru menjauhi operasi Worldcoin,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024




















