Penipuan ‘Love Scam’ guna imej, nama Ahmad Amzad

Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, mengeluarkan amaran kepada orang ramai berhubung peningkatan kes penipuan di media sosial yang melibatkan penggunaan nama dan imej beliau tanpa izin.

Menurut beliau, penipuan itu termasuk sindiket ‘love scam’ yang dilaporkan terus aktif walaupun laporan telah dibuat kepada pihak pihak berkuasa. 

- Advertisement -

“Meskipun pelbagai laporan telah saya buat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak hampir empat tahun lalu, isu ini masih belum diselesaikan sepenuhnya. 

“Akaun palsu terus muncul sebaik sahaja akaun terdahulu dipadam, seolah-olah tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

“Saya sangat kesal dengan kejadian sindiket ‘love scam’ ini kerana ia bukan sahaja memperdaya mangsa tetapi juga mencemarkan imej saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amzad berkata, sesetengah orang mungkin tersalah anggap bahawa beliau terlibat dalam aktiviti tersebut. 

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak bertanggungjawab atas sebarang bentuk penipuan yang menggunakan gambar atau nama saya.

“Saya menyeru semua untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan akaun-akaun palsu ini. Jika anda terjumpa atau menjadi mangsa penipuan seperti ini, sila buat laporan kepada pihak polis dan SKMM dengan segera.

“Komitmen saya adalah untuk terus berusaha menangani isu itu dan berharap semua pihak memberikan kerjasama penuh dalam memerangi sindiket tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

- Advertisement -