
KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz menarik perhatian umum mengenai kenyataan media oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman pada 6 Oktober lalu.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah membuat keputusan untuk menyewa secara pajakan helikopter jenis Agusta Westland 149 (AW149).
Ikmal Hisham berkata, keputusan itu bertujuan untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan pesawat jenis Sikorsky S-61A-4 atau lebih dikenali sebagai Nuri yang telah dilucut tauliah sejak pada tahun 2020.
“Perkembangan ini juga rentetan daripada kesan dan akibat Syarikat Aerotree Sdn Bhd (Aerotree) yang sehingga kini gagal mendapatkan pesawat jenis UH-60 atau lebih dikenali dengan nama Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Pesawat itu bagi tujuan operasi pelbagai guna juga mengambil kira keputusan kerajaan melucut tauliah pesawat Nuri pada tahun 2020,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, TUDM dan TDM adalah dua cabang perkhidmatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan pengguna pesawat Nuri bagi tujuan operasi pelbagai guna, sama ada logistik mahupun menyokong pelaksanaan operasi di pedalaman Malaysia.
“Saya tahu melalui perbualan dan perbincangan saya dengan pegawai dari semua cabang perkhidmatan ATM bahawa TDM dan TUDM amat memerlukan keupayaan medium-lift sekurang-kurangnya setara dengan keupayaan pesawat Nuri yang telah dilucut-tauliah.
“Selain itu, ia merupakan pesawat terbaik bagi menggantikan Nuri yang telah dikenal pasti sebelum ini adalah dari jenis UH-60 atau Black Hawk yang ternyata bukan sahaja menepati keperluan operasi ATM sedia ada, malah sangat lasak serta mudah untuk diselenggara,” katanya.
Beliau berkata, selain daripada Nuri, helikopter udara dari jenis Eurocopter EC725 Caracal buatan Syarikat Airbus Helicopters yang telah diperolehi sebanyak 12 buah sejak tahun 2012 juga telah mencatatkan waktu penerbangan tertinggi di rantau ini.
“Hal demikian secara tidak langsung menunjukkan bahawa pesawat jenis EC725 ini merupakan ‘work horse’ utama ATM serta terbukti sesuai dengan doktrin operasi yang digunakan oleh ATM.
“Apatah lagi Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) Aeroservices (syarikat tempatan di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera – LTAT) mampu melaksanakan kerja Penyelenggaraan, Pembaikan dan Pengubahsuaian (MRO) bagi pesawat jenis ini,” katanya.
Oleh demikian, beliau hairan apabila keputusan Kerajaan Madani sebelum ini yang secara tiba-tiba memutuskan untuk menganugerahkan kontrak perolehan kepada (Aerotree) bagi membolehkan syarikat ini menjadi orang tengah perolehan pesawat Black Hawk bagi menggantikan pesawat Nuri.
Namun begitu, pihak MINDEF boleh mendapatkan pesawat Black Hawk ini secara kerajaan kepada kerajaan (G2G) sama ada melalui kaedah Foreign Military Sales (FMS) ataupun Excess Defense Articles (EDA) daripada Syarikat Sikorsky tanpa memerlukan penglibatan orang tengah.
“Apatah lagi semua urusan perolehan persenjataan atau aset dari Amerika Syarikat hendaklah melalui kebenaran Directorate of Defense Trade Control (DDTC) yang hanya boleh dipohon oleh pihak MINDEF sahaja (selaku wakil Kerajaan Malaysia) dengan pihak Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur (Office of Defense Cooperation – ODC).
“Ia juga tidak boleh dilakukan secara unilateral oleh Syarikat Aerotree Sdn Bhd tanpa penglibatan MINDEF. Apakah ini bermakna sekarang ini MINDEF perlu bekerja untuk syarikat ini?
“Apakah ‘track record’ Syarikat Aerotree Sdn Bhd dalam perolehan aset udara untuk ATM sehingga mereka diberikan kontrak penting seperti ini?” katanya.
Oleh demikian, beliau sering memohon penjelasan daripada Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai isu berhubung status perolehan pesawat Black Hawk oleh Syarikat Aerotree Sdn Bhd.
Beliau berkata, sehingga kini menteri tersebut masih gagal untuk memenuhi syarat dan terma kontrak melalui sesi jawab lisan dan perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini.
“Garis waktu akhir yang diberikan oleh MINDEF adalah pada penghujung Oktober 2024, sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad membatalkan kontrak.
“Situasi ini juga membuka ruang kepada pelobi lain untuk menawarkan perolehan pesawat udara yang bukan sahaja tidak sesuai dengan doktrin dan operasi udara berdasarkan kepada keperluan sebenar ATM.
“Hal ini kerana kaedah sewaan dan pajakan selama 15 tahun yang dicadangkan juga seakan tidak kena dengan tatacara atau tatakelola sebenar perolehan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu juga seakan mahu meletakkan situasi ‘fait-accompli’ kepada ATM untuk hanya menerima keputusan yang dibuat oleh ahli politik tanpa merujuk kepada persetujuan ‘end-user’.
“Justeru tak semena-mena sekarang timbul cadangan dan usaha pelobi supaya ATM dibekalkan dengan pesawat jenis AW149 secara sewaan iaitu pesawat udara yang lebih bersifat untuk kegunaan awam di pelantar minyak berbanding kegunaan kombatan,” katanya.
Beliau mempersoalkan, mengapa tidak ditambah sahaja pesawat jenis EC725 Caracal kepada skuadron baru (sekiranya perolehan Black Hawk terlalu rumit) mengambil kira kejayaan penggunaan pesawat EC725 ini sejak dari 2012?
“Kenapa perlu dicadangkan keupayaan pesawat jenis baharu AW149 yang lebih sesuai digunakan oleh pihak awam berbanding tentera?
“Apatah lagi ini akan merumitkan lagi urusan penyelenggaraan dan aspek kebolehoperasian perkhidmatan ATM serta penyediaan alat-alat ganti serta latihan kepada ground-crew.
“Adakah hanya disebabkan pelobi berkenaan sudah menjalinkan kerjasama rapat sebagai orang tengah dengan Syarikat Leonardo yang berpangkalan di Itali?” katanya.
Beliau berkata, helikopter udara yang digunakan oleh ATM adalah lebih kompleks daripada penggunaan pesawat helikopter udara oleh orang awam kerana ia melibatkan kesiagaan kombatan dan juga keperluan pelbagai guna lain sebagai contoh underslung-lift.
Tembah beliau, pelaksanaan operasi di dalam dan luar negeri serta operasi penerbangan pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca buruk bagi menjaga kedaulatan ruang udara di Malaysia.
“Pesawat AW149 ini akan nampak cantik sewaktu sambutan perarakan kemerdekaan di Putrajaya, tetapi saya yakin pesawat Black Hawk atau EC725 lebih dihargai oleh warga ATM dalam memenuhi ekspektasi operasi harian mereka menjaga kedaulatan negara.
“Apakah ATM kini sudah menjadi mangsa percaturan ‘pelobi’ kontrak aset pertahanan? Apakah tragedi kecurangan wang awam melibatkan perolehan aset tentera yang tidak diperlukan oleh ‘end-user’ atau masih dalam bentuk prototaip akan berulang kembali sebagaimana perolehan Littoral Combatant Ship (LCS)?
“Saya akan membangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Rakyat akan datang. Saya hanya mampu berharap agar MINDEF dapat menjawab dengan jujur berkenaan perkara ini,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa TDM dijangka menerima helikopter Black Hawk sebelum hujung bulan ini iaitu mengikut tarikh dipersetujui dalam surat lanjutan kedua dikeluarkan oleh Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan.
Mohammad Ab Rahman berkata, sekiranya syarikat terlibat masih gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan, TDM akan menggesa Bahagian Perolehan mengambil tindakan tegas selari dengan syarat ditetapkan dalam surat lanjutan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa seandainya kontrak tersebut dibatalkan spesifikasi dan penjenisan helikopter yang sama iaitu helikopter utiliti tempur wajar digantikan bagi memenuhi keperluan operasi TDM serta keperluan staf am pasukan udara TDM. – HARAKAHDAILY 8/10/2024




















