‘Dana tebatan banjir Selangor gagal, rakyat masih terkesan’

Dana besar untuk projek tebatan banjir di Selangor tetapi masalah itu masih tidak diselesaikan sehingga menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pentadbiran dan penggunaan rizab negeri untuk kebajikan rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenyataan bahawa kerajaan Selangor berjaya menangani banjir dianggap tidak mencerminkan realiti, dengan kritikan terhadap pengurusan pembangunan dan masalah sampah yang menyumbang kepada banjir.”

Pengarah Jabatan Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Mohamed Suffi Kamari berkata, meskipun menerima dana besar untuk projek tebatan banjir, isu itu masih tidak diselesaikan sehingga menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pentadbiran dan penggunaan rizab negeri untuk kebajikan rakyat. 

- Advertisement -

“Kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad bahawa bencana banjir di Selangor sudah ditangani dengan baik adalah suatu kenyataan yang tidak mencerminkan realiti di Selangor. 

“Adakah beliau sedang berada di bawah tempurung atau hanya mahu menegakkan ‘benang yang basah’? 

“Sepatutnya beliau menegur kerajaan yang tidak cekap menguruskan perancangan pembangunan, malah tidak bersungguh menyelesaikan masalah sampah-sarap yang menjadi penyumbang kepada masalah banjir ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Suffi Kamari

Menurut beliau, sebagai sebuah negeri terkaya di Malaysia dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 25.9 peratus pada tahun 2023, tidak sepatutnya Selangor masih terpalit dengan isu banjir yang tidak berkesudahan itu. 

“Rakyat juga tertanya-tanya, apa guna wang rizab kerajaan berjumlah berbilion-bilion ringgit jika tidak digunapakai untuk kebajikan rakyat?

“Bahkan, Kerajaan Persekutuan juga telah membelanjakan sejumlah RM6.3 bilion (tahun 2022) dan RM1.1 bilion (tahun 2023) kepada Selangor untuk projek tebatan banjir, tetapi mengapa isu banjir masih jua tidak selesai?” persoal beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata itu menunjukkan kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan terbukti jelas.

Beliau menjelaskan bahawa perkara tersebutlah yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar iaitu menyuarakan kebimbangan bahawa keyakinan pelabur akan terus malap jika kerajaan negeri mengambil mudah isu banjir ini.

Selain itu menurut beliau, perbandingan isu banjir yang dibuat terhadap Kelantan secara tidak langsung membuktikan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor itu sebenarnya yang ‘bodoh sombong’.

“Apakah Selangor begitu dhaif sehingga tidak berupaya menyelesaikan masalah yang berulang saban tahun? 

“Adakah Menteri Besar tidak mahu perkara ini selesai kerana hanya mahu memenuhi acara tahunan menziarahi mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara? Cukup-cukuplah menafikan perkara yang sudah tentu tidak menguntungkan rakyat.

“Justeru, Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan negeri Selangor mengkaji secara holistik berkenaan isu banjir itu dan mencari penyelesaian tuntas bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

- Advertisement -