
PADANG BESAR: Beberapa projek infrastruktur akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menangani masalah banjir kilat yang melanda sekitar Beseri, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, projek itu juga akan meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.
“Antaranya, projek pembinaan sistem longkang di Kampung Bukit Merah sedang dalam proses, dengan kontraktor telah turun ke tapak untuk membuat penilaian.
“Projek ini dijangka dapat mengurangkan masalah banjir kilat yang sering melanda Kampung Bukit Merah dan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Beseri Paya,” katanya.
Selain itu ujarnya, projek pembesaran ‘Side Table’ di jalan Kampung Padang Malau yang terletak di belakang masjid kampung tersebut juga sedang dirancang.

“Kayu bakau sudah disediakan di tapak sebagai persediaan untuk memulakan pembinaan.
“Manakala projek pelebaran longkang di Kampung Tunjong hampir selesai, dengan 90 peratus kerja telah disiapkan.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka membantu melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan ini,” ujarnya lagi.
Haziq Asyraf turut berterima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis atas tindakan pantas mereka dalam menyelesaikan aduan yang diterima daripada penduduk.
Begitu juga katanya dengan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) kerana berjaya menangani aduan dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa Surau RPA Beseri Paya berhubung keadaan jalan rendah yang sering dinaiki air.
“Penyelesaian masalah ini telah memberi keselesaan kepada penduduk dan jemaah surau untuk beribadat dengan lebih baik,” katanya lagi. HARAKAHDAILY 8/10/2024













