Wan Saiful dilantik Ketua Bahagian Bersatu Bangi

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Alhamdullillah saya telah disenaraikan sebagai menang tanpa bertanding bagi jawapan Ketua Bahagian Bersatu Bangi.”

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau juga mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Bahagian Bangi yang baharu hasil daripada syura yang membawa kepada kesepakatan menyusun atur organisasi tanpa pertandingan.

- Advertisement -

“Ini merupakan bukti ukhuwah dan iltizam ahli-ahli Bersatu Bangi untuk bekerja dalam satu keluarga Bersatu demi perjuangan kita.

“Insya Allah, pengisytiharan rasmi ialah pada hari Persidangan Bahagian nanti,” katanya dalam satu kenyataan media dalam akaun media sosial Facebooknya semalam.

Menurut beliau, ucapan tahniah turut diucapkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kekal sebagai Presiden Bersatu manakala Dato’ Seri Hamzah Zainuddin bakal menggalas amanah sebagai Timbalan Presiden Bersatu yang baharu.

“Insya Allah, saya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bagi penggal akan datang. 

“Benar, saya akui beberapa laporan media bahawa sebelum ini saya ada mengintai kerusi Naib Presiden. 

“Tetapi sebagai antara seorang yang  terlibat secara langsung dalam memberi mandat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyusun atur saf pelapis, saya mendokong penuh cadangan beliau dan saya memilih untuk mempertahankan kerusi MPT sahaja.

“Bersatu mempunyai potensi yang tinggi untuk mara ke hadapan dan mengambil alih amanah pemerintahan, bukan saja di Putrajaya tetapi juga di beberapa negeri.

“Pastinya masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memperkukuh parti dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

“Malahan, selepas ini tumpuan kita seharusnya bukan saja kepada pemerkasaan jentera pilihanraya, tapi juga kepada gerak kerja perkadaran, penerangan, dan pengurusan parti,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful menyatakan bahawa parti Bersatu tidak boleh lagi untuk terus bergantung kepada undi protes semata-mata dan memerlukan naratif serta tawaran yang jelas kepada rakyat.

Kata beliau lagi, era tersebut sudah pun tamat yang mana perlunya menampakkan parti Bersatu sebagai sebuah parti yang mempunyai solusi yang diyakini rakyat.

“Bergerak ke hadapan, Bersatu mesti pastikan kita ada naratif dan tawaran yang jelas untuk rakyat. Kita tidak boleh terus bergantung kepada undi protes. 

“Ini kerana era itu sudah tamat. Sebaliknya kita mesti memposisikan Bersatu sebagai parti yang mempunyai solusi yang diyakini rakyat, parti yang berwawasan, dan parti yang berprinsip.

“Pelancaran dokumen ideologi Bersatu baru-baru ini yang berteraskan lima prinsip idealisme perjuangan iaitu inklusif, sederhana, demokratik, integriti dan prihatin akan menjadikan parti kita wadah politik kanan pertengahan untuk semua rakyat Malaysia.

“Dokumen ini perlu dicerakinkan dan dihadamkan di segenap peringkat parti,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024

- Advertisement -