
KOTA BHARU: “Setiap sukarelawan yang diberi tanggungjawab membantu mangsa banjir atau bencana alam memerlukan ketahanan diri yang cukup tinggi.”
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, membantu mangsa banjir bukan suatu perkara yang mudah kerana ia cukup mencabar.
“Sukarelawan perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran termasuk berenang, menyelamat mangsa yang cedera dan kekuatan mental dan fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Mesra Hi-Tea Bersama Aktivis NGO Kebajikan dan Bencana, di sini, semalam, yang menyaksikan kehadiran sebanyak 40 NGO.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Nor Asilah Mohamed Zin.
Tambah Rohani, ada sukarelawan yang sanggup berkorban nyawa, masa dan diri sendiri untuk membantu mangsa yang ditimpa musibah khususnya banjir.
“Gerak kerja antara sukarelawan perlu diselaras bagi memudahkan kerja-kerja kecemasan dan menjaga kebajikan mangsa banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024











