
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan 7 negeri sehingga jam 6 petang, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu di Kedah yang melibatkan kawasan Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu. Di Perak melibatkan kawasan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
“Selain itu, turut diramalkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di satu kawasan di Kelantan iaitu Jeli.
“Sementara kawasan di Terengganu pula adalah Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. Begitu juga di empat kawasan di Johor iaitu Kluang, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru turut diramalkan berlakunya ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.
“Seterusnya di Sarawak pula melibatkan kawasan Sri Aman, Betong (Betong), Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Turut dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh kawasan di Sabah iaitu Pedalaman (Nabawan dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau), Tawau dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Beluran).
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 7/10/2024




















