‘Petik hadis Nabi, bukan main hentam sahaja’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak untuk memetik maksud hadis Nabi SAW, tetapi tindakan itu perlu disertakan dengan maklumat yang sahih.”

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan memetik maksud hadis yang dibuat itu adalah satu kecenderungan yang baik.

- Advertisement -

“Tapi perlulah dapatkan maklumat yang sahih dulu. Tanya dan rujuk dulu kepada ahlinya. 

“Bukan main hentam sahaja, semua dikatakan hadis. Jangan begitu,” katanya dalam media sosial miliknya.

Terdahulu, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming melalui media sosial rasmi miliknya berkata Rumahku Syurgaku adalah merupakan hadis Nabi SAW.

Perkara itu dipercayai dibuat dalam satu sidang media berkaitan inisiatif Deposit MADANI untuk menyediakan bantuan deposit bagi membantu golongan muda memiliki rumah pertama.

Walau bagaimanapun, Ahmad Fadhli berkata, sekiranya tindakan pimpinan tersebut tidak cermat, kelihatan sangat jelaslah bahawa ia tidak serius mahu memetik maksud hadis. 

“Sekadar menunggang untuk nampakkan YB tidak anti-Islam.

“Daripada petik ‘maksud hadis nabi’ yang hakikatnya bukan hadis, lebih baik YB petik kata-kata tokoh lain, tokoh komunis pun ok jika maksudnya baik,” tegas Fadhli menempelak pemimpin berkenaan.

Beliau juga berkata, “Bukan saya mahu menghalalkan ideologi komunis, tetapi YB lebih mudah merujuk kepada tokoh-tokoh itu dengan bantuan rakan-rakan seperjuangan yang baru balik dari sekolah perkaderan komunis.”  – HARAKAHDAILY 7/10/2024

- Advertisement -