
KUALA LUMPUR: Daie merupakan pendakwah atau penyeru yang menyeru manusia untuk beriman kepada Allah SWT dan ajaran-ajaran Islam serta berpegang teguh serta mempertahankan kemurniannya.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, daie juga adalah kerja atau amanah para Nabi khususnya Nabi Muhammad SAW kepada umatnya yang beriman kepada Allah SWT.
Katanya lagi, daie yang hebat dan cemerlang dalam rumah tangga dan kerjaya sentiasa disebut dalam setiap solat yang didirikan, tak lain tak bukan adalah Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim AS.
“Nabi Ibrahim AS telah kita ketahui bahawa beliau sanggup korbankan diri dan keluarga demi mentaati perintah Allah SWT.
“Betapa Allah SWT menghargai dan mengabdikan amalan diri dan keluarga beliau dalam ibadat umat Islam sekarang, seperti dalam ibadat haji umrah dan korban,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial Facebook DMPM.
Tambah Ustazah Nuridah lagi, Allah SWT turut mengiktiraf kecemerlangan Baginda Rasulullah SAW dalam melaksanakan segala amanah Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21 bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
Tambah beliau lagi, kejayaan Baginda SAW dapat dilihat ketika bersama para sahabat mendirikan daulah Islam setelah 13 tahun berdakwah di bumi Makkah.
“Dalam menghadapi cabaran masa kini, kita sering berhadapan dengan pelbagai ujian getir sebagai seorang daie dan sebagai ahli jemaah.
“Sebagai ahli jemaah, kita mempunyai cabaran dalam mempertahankan politik Islam yang kita dukung.
“Antaranya ujian persempadanan semula. Ujian ini akan menyebabkan sokongan kepada parti kita biarpun hebat tetapi tidak menzahirkan kemenangan undi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata penyelesaian kepada segala masalah sebenarnya telah diberi solusi dan tunjuk ajar oleh Nabi Muhammad SAW.
Langkah pertama, umat Islam seharusnya menjaga dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Hubungan pertama dengan Allah SWT adalah menjaga ibadah solat wajib dan sunat.
Selain itu, DMPM dalam menyenaraikan sifat sufi turut menggalakkan ahli-ahlinya memperbanyakkan amalan solat setiap hari sebanyak 40 rakaat solat.
Katanya lagi, mudah-mudahan dengan banyaknya permohonan kepada Allah SWT menerusi solat, Allah SWT akan mengilhamkan jalan dan strategi yang benar dan tepat.
“Seterusnya berjaya berdepan dengan segala tribulasi kehidupan dalam semua bidang perjuangan.
“Hayati agenda AKIFI iaitu alim, haraki dan sufi dalam setiap urusan kehidupan kita.
“Moga Allah SWT memilih kita untuk berjaya di dunia dan khirat seperti yang telah dikurniakan kepada Baginda SAW dan para pejuang Islam terdahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024




















