Norlailia dicari urusan mohon kad pengenalan anak

- Advertisement -

TANGGA BATU: Norlailia Muhamed Anuar, 39, yang merupakan ibu kandung kepada adik Assyifatul Haifa Qarissha Abdullah, 12, dirayu agar dapat menghubungi anaknya segera bagi urusan keperluan permohonan kad pengenalan.

- Advertisement -

Bapa angkat kepada Haifa, Razemi Zulkepli berkata, beliau sedang dalam proses untuk memohon kad pengenalan untuk Haifa yang kini sudah berusia 12 tahun, namun ia memerlukan cap jari ibu kandungnya.

“Saya nak buat kad pengenalan Haifa ni tak boleh sebab pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mahukan pengesahan cap jari ibu kandung dia, baru mereka boleh proses.

“Jadi saya minta jasa baik Norlailia, ibu kandung kepada Haifa ni harap dapat hubungi saya segera. Sebab tanpa cap jari tu tak boleh nak buat kad pengenalan,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini beliau telah melakukan pelbagai cara termasuk menghebahkan di media-media sosial selain mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan Norlailia, namun masih gagal.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sewaktu hadir ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, di sini hari ini, bagi mendapatkan nasihat terhadap masalah yang dihadapinya itu.

Kata Razemi, beliau mengambil Haifa sebagai anak angkat sewaktu anak itu baru dilahirkan di Hospital Ampang 12 tahun lalu.

“Masa itu saya ke hospital ziarah cucu saya sakit. Masa tu ibu dia ni baru lahirkan Haifa. Dia nak bagi dekat saya sebab dia kata dia tak mampu nak jaga. Jadi saya setuju ambil Haifa.

“Dalam masa empat tahun selepas saya ambil Haifa ni kami masih berhubung, tetapi selepas itu terus tak boleh nak hubungi dia. Mungkin dia tukar nombor telefon atau berpindah-randah,” katanya.

Menurut Razemi, alamat terakhir Norlailia ialah di Cheras Ria Apartment, Taman Cheras Utama, Kuala Lumpur.

“Segala dokumen-dokumen tentang pengambilan anak angkat saya ada, saya buat dan semua prosedur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) saya sudah ikut. Tetapi JPN tetap perlukan cap jari ibu kandung dia.

“Pegawai JPN tu kata kena uruskan segera sebab kalau dia dah berumur 16 tahun prosesnya akan lebih susah. Nanti nak masuk sekolah menengah, nak masuk universiti lagi susah,” katanya.

Beliau berharap agar Norlailia atau sesiapa yang mengenali wanita itu agar dapat menghubunginya di nombor telefon bimbit, 013-5800125 atau 018-9443081.

Razemi yang berasal dari Kampung Persik, Teluk Gunung, Merapoh, Pahang itu kini menetap di Melaka dan menjalankan perniagaan restoren di pusat perniagaan Taman Tanjung Minyak Perdana sejak empat tahun lalu. – HARAKAHDAILY 7/10/2024

- Advertisement -