Terengganu International Paramotor Challenge 2024 kumpul 20,000 pengunjung

Kepsyen: Razali Idris (baju putih) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penganjuran Terengganu International Paramotor Challenge (Friendly Match) 2024 yang diadakan selama tiga hari, bermula pada Jumaat lalu di Dataran Drawbridge di sini berjaya menarik seramai 20,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia merupakan satu sambutan yang positif sebagai acara pertama kali diadakan di negeri ini.

- Advertisement -

“Saya merakamkan terima kasih kepada urusetia Program Paramotor International Terengganu yang mana saya difahamkan ada keterlibatan 26 peserta seluruh negara termasuk dua dari luar negara.

“Kita pertama kali menganjur (program ini), kita dapat lihat kehadiran begitu ramai, satu permulaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu International Paramotor Challenge Friendly Match di Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan), Mohd Fadhli Jusoh yang mewakili Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu.

Dalam pada itu, Razali mengakui bahawa pemilihan bulan untuk penganjuran itu mungkin tidak sesuai kerana ia diadakan pada waktu menjelang musim monsun.

“Hari sudah elok Jumaat, Sabtu dan Ahad cuma bulan tak elok sebab sekarang sudah menghampiri monsun, main kalau silap, cuaca tak boleh nak dijangka akan ada perkara yang bahaya.

“Insya-Allah pada tahun hadapan kita cuba cadang supaya acara ini diadakan pada bulan Mei atau Jun. Dikala itu monsun memang selamatlah kecuali malapetaka.

“Saya juga bersetuju untuk masukkan (program ini) dalam kelendar acara pada tahun hadapan,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran sebegini memberi peluang kepada anak muda Terengganu untuk menyaksikan dan terlibat dalam aktiviti paramotor.

“Kita teruja lah sebagai kerajaan negeri memang kita nak acara yang agak luar biasa yang mana memberi cabaran kepada anak-anak muda Terengganu sebenarnya dan untuk warga negeri dapat lihat apa itu paramotor, yang selalunya kita tengok Paragliding.

“Saya fikir inilah cubaan kita dan tahun hadapan kita akan move foward dan kita akan buka lagi ruang-ruang kepada mereka yang nak buat program bertaraf antarabangsa di negeri Terengganu,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan tempat, beliau berkata, lokasi Dataran Drawbridge amat sesuai untuk diadakan aktiviti itu kerana ia merupakan satu tempat ikonik di negeri ini.

“Saya sebenarnya lama berbincang dangan mereka untuk jadikan program ini bukan sebulan, hampir setengah tahun, bincang, cari tempat yang sesuai.

“Kita cadang beberapa tempat akhirnya di sini juga yang mereka pilih dan dapat restu daripada pihak pemegang taruh seperti lapangan terbang dan ada banyak lagi yang terlibat dengan ruangan udara ini tapi sesuai.

“Kita harap tahun hadapan kita buat perancangan daripada sekarang dan kita tengok sejauh mana minat peserta tempatan dan antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2024

- Advertisement -